Make your own free website on Tripod.com

Hebat juga kerja Tok Wakil

Saya dapat bayang dan gambarkan  betapa seluruh pendokong dan penyokong gerakan Islam di seluruh dunia, dengan penuh kesyukuran, menyambut berita gembira kemenangan saya dalam pilihan raya kecil Pulai Chondong itu.  Ini kerana sejak dari awal penamaan calon lagi saya telah banyak menerima penggilan telefon, surat dan kiriman salam dari pelbagai pelusuk dunia.  Kalau boleh saya sebut secara khas: daripada umat Islam yang berada di Arab Saudi, Mesir, Jordan, Sudan, Amerika Syarikat, England, Thailand dan juga daripada beberapa orang sahabat saya di Australia dan China.

Ia sebagai bukti kukuh bahawa kerja ini tidak keseorangan, tidak mengenal daerah sempadan apatah lagi memang tidak mengira bangsa.  Yang menjadi penilaian dan perhatian ialah agenda perjuangan - Islam perlu didaulatkan.

Gambaran ini semakin jelas apabila jemputan untuk saya berceramah datang dari seluruh pelusuk tanah air.  Dari utara, tengah, selatan dan tidak terkecuali jemputan dari anak-anak yang sedang belajar di United Kingdom.

Saya menjadi cukup serba salah, hendak diikutkan jemputan ceramah, nanti anak buah di dalam kawasan (DUN Pulai Chondong) bising; nak tidak tunaikan jemputan, ingat pula akan kerja dakwah - bukan tempat kita sahaja perlu berdakwah dan menangkan perjuangan Islam - perlu juga ke tempat lain kerana ini memang kerja kita.

Terdengar juga suara rungutan daripada seorang dua orang parti (di dalam DUN Pulai Chondong): “ore jauh tu, ore Kedah, ore Perak buke ngundi kita, buat gapo kita gi ceramahnya.”
Walau bagaimanapun, alhamdulillah, orang PAS cepat faham dan patuh kepada keputusan pimpinan.  Mereka faham, Tok Wakil PAS bukan hak mutlak mereka; mesti dikongsi bersama dan kerja perjuangan Islam ini tidak mengenal batas sempadan negeri.

Lalu mereka terima keputusan Lajnah Penerangan PAS Negeri Kelantan agar membenarkan saya berceramah di luar negeri Kelantan sebanyak tidak lebih daripada tiga kali sebulan.  Semua jadual ceramah ke luar negeri diatur oleh Lajnah Penerangan Negeri.  Sejak itu baru lega dada saya.
Ada juga sesetengah orang cuba membandingkan saya dengan wakil rakyat sebelum saya (Allahyarham Kpt. (B) Mohd. Noor - Abe Noor).  Sering menjadi perbandingan, kata mereka, wakil rakyat dahulu boleh duduk kedai kopi hingga jam satu dua pagi.  Tapi wakil rakyat sekarang tidak “best”, “Tak leh duduk bual dengan kita sampai larut malam dek ralit ceramah luar negeri,” Demikianlah antara kata-kata yang didengar.

Sekali ingat teringin juga saya nak ikut jejak Allahyarham tetapi saya sekadar mampu menjelaskan bahawa sudah pasti ada perbezaan antara saya dengan Allah-yarham.  Tinggal lagi, ambil dan bezakan mana yang baik daripada Allahyarham dan begitu juga ambil dan pakai mana yang lebih baik daripada saya.  Jika ada kekurangan pada saya, beritahu saya.  Insya' Allah, saya akan baiki untuk kebaikan semua.  Cuma, pesan saya, jangan sekali-kali menimbulkan kele-mahan (jika ada) Allahyarham sebab dia sudah tiada.  Doa kita semoga semua kita selamat.

Sambil duduk menedu, kadang-kadang saya menilai sejenak: hebat juga kerja Tok Wakil.  Semua yang dibuat mesti ambil kira: adakah bersesuaian dengan hukum Allah, adakah kena dengan kehendak parti, adakah sesuai dengan kehendak rakyat?  Akhir sekali baru tanya, adakah kena dengan kehendak sendiri, adakah yang empunya diri mampu lakukannya?  Itulah Tok Wakil.
 


HOME