Make your own free website on Tripod.com

Pusat pengajian pondok jadi produk tarik pelancong

SUASANA pengajian pondok yang menjadi akar umbi budaya penimbaan ilmu di Kelantan sehingga negeri ini diberikan gelaran Serambi Mekah diekspolitasikan sebagai produk pelancongan baru dalam usaha menarik minat pelancong berkunjung ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan, Belia dan Sukan Kerajaan Kelantan, YB Haji Abdullah Yaakub, berkata pakej penginapan di pusat pengajian pondok dijangka akan memberi pengalaman baru yang  unik dan luarbiasa bagi pelancong khususnya dari dalam negeri.

Ini, katanya, adalah memandangkan persekitaran yang bersih bukan sahaja sesuatu untuk beristirahat, malah pada waktu yang sama pelancong berpeluang mendalami ilmu agama.

“Pada dasarnya kerajaan bersetuju dengan cadangan menjadikan pusat pengajian pondok sebagai produk baru pelancongan dan kini perancangan bagi  memilih dan mengenalpati pondok yang sesuai termasuk menyelenggarakan tempat penginapan di kawasan pusat pengajian pondok sedang giat dijalankan,” jelasnya.

Haji Abdullah berkata Kelantan menjadi negeri pertama di negara ini yang menjadikan pusat pengajian pondok sebagai produk perlancongan sebagai langkah positif ke arah menarik kunjungan pelancong dalam negeri, khususnya yang beragama Islam.

Katanya, matlamat utama kerajaan negeri yang diterajui oleh YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja untuk menarik kunjungan pelancong tetapi turut diberi penekanan kepada faedah abadi yang akan diperolehi oleh pelancong yakni dalam bentuk ilmu dan amal.

“Selain daripada pondok sebagai sebuah pusat sistem pengajian tertua yang masih kekal di  Kelantan, pusat pengajian pondok juga mempunyai ilmuan agama dan kitab-kitab yang boleh dirujuk oleh pelancong yang datang ke Kelantan untuk tujuan keduniaan dan keakhiratan,” tegasnya.
Haji Abdullah berkata demikian sselepas berucap pada majlis penutupan Seminar Kebangsaan 1998, Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan Bumiputera di sini baru-baru ini.

Seminar dua hari itu anjuran bersama Kementerian Kesenian dan Pelancongan, Kerajaan Kelantan, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).
Seminar itu dirasmikan oleh Menteri Kesenian dan Pelancongan Datuk Sabaruddin Chik, yang turut kagum dengan jumlah kunjungan pelancong ke Kelantan. Dalam bulan Januari tahun ini sahaja, seramai 324,500 pelancong telah melawat Kelantan walaupun program sebenar TMK'98 hanya bermula pada bulan ini.

Antara pusat pengajian yang dikenalpasti bagi tujuan itu ialah Lubuk Tapah, Sungai Durian dan Pasir Puteh yang pada suatu ketika menjadi pusat-pusat penyibaran ilmu dan pusat kelahiran para ulamak dan ilmuan Islam senusantara.


HOME