Make your own free website on Tripod.com

Khutbah hendaklah menyentuh isu semasa termasuk politik

MAJLIS-Majlis Agama Islam perlu menyediakan khutbah yang menyentuh dan merangkumi isu semasa termasuk yang berkaitan dengan bidang politik dan ekonomi bagi menarik minat jamaah, kata Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dengan menyentuh isu-isu semasa dan terkini, khutbah Jumaat akan menjadi lebih berkesan untuk memberi ilmu dan penjelasan kepada anak-anak mukim tentang pelbagai perkara yang perlu ditangani bersama, katanya dalam satu ceramah di Kampung Air Bakut di sini baru-baru ini.

Tambahnya, khatib juga hendaklah membaca khutbah dengan cara yang menarik supaya mudah difahami di samping tidak menjemukan jamaah yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan pelbagai tahap pendidikan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata pemimpin politik yang menggunakan kebendaan atau wang bagi mendapatkan tempat dalam saf kepimpinan merupakan penakut, tidak jujur dan tidak berwibawa.

“Tidak kira apa pun parti yang dianggotai, ahli yang bersikap sedemikian akhirnya akan membawa masalah kepada parti dan kerajaan yang wujud bertunjangkan sesebuah parti,” tegasnya.
Beliau berkata, semulia-mulia saf kepimpinan ialah yang tidak berebut dan menggunakan jalan yang tidak betul untuk menjadi saf kepimpinan manakala apabila diberi tanggungjawab, maka hendaklah disempurnakan tanpa tersasar dari apa yang digariskan oleh al-Qur’an dan Hadis.


HOME