Make your own free website on Tripod.com

ADUN didedahkan kepada industri gas

AHLI-AHLI Dewan Undangan Negeri Kelantan dari parti Kerajaan dan pembangkang diberitahu bahawa dua buah syarikat petroleum milik Keloil Sdn. Bhd. - anak syarikat Perbanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) - akan mula mengeluarkan balang gas dan mengisi gas ke dalam balang untuk pasaran pada bulan April ini.

Ketua Eksekutif PKINK, Wan Zulkefli Wan Yusoff berkata, kilang-kilang tersebut ialah Keloil Bottling Sdn Bhd dan Keloil Manufacturing Sdn Bhd. kini dalam peringkat ujian dalam pengeluaran masing-masing.

“Keloil Manufacturing terbabit dalam kerja-kerja pengeluaran balang (kebuk) menggunakan teknologi yang diimport dari Jerman manakala Keloil Bottling pula menjalan-kan kerja mengisi gas ke dalam balang dengan menggunakan mesin dari Denmark.,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi takilmat kepada wakil-wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang melawat ke pengkalan pendaratan gas Pantai Senok, Bachok selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan 3 Mac lalu. Pembinaan kedua-dua kilang berkenaan membabitkan kos RM70 juta.

Wan Zulkefli berkata, Keloil Manufacturing mengeluarkan balang gas untuk beberapa syarikat seperti Esso, Shell dan Petronas.  Ia mampu mengeluar-kan 500,000 balang setahun
Bagaimanapun, tambahnya, jumlah pengeluaran balang gas belum dapat ditentukan kerana pihak syarikat masih dalam proses menguji kemampuan mesin yang digunakan.

Manakala Keloil Bottling pula dijangka mengeluaran kira-kira 25,000 balang yang diisi gas pada setiap bulan.

Keloil Bottlling sudah mengadakan usahasama dengan Petroleum Authority of Thailand (PTT) yang mana syarikat negara jiran itu akan membekalkan gas petroleum secair (LPG) secara pukal.
Semua produk syarikat itu akan dipasar dalam negara oleh beberapa syarikat seperti Shell, Esso dan Petronas.

Keloil Sdn Bhd juga sedang mencari pasaran luar negara terutama di Bangladesh, Pakistan dan negara-negara Indochina.

Wan Zulkefli yakin projek petrokimia Pantai Senok akan menjadi pemangkin ekonomi Kelantan, yang mana usaha dan hasilnya akan lebih ketara pada tahun 2000.


HOME