Satu kampung satu produk untuk banteras kemerempatan dan kemungkaran

KERAJAAN Kelantan akan melipatgandakan usaha melak-sanakan program satu kampung satu produk bagi membanteras kemeremptan dan kemung-karan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa, YB Haji Omar Mohamad, berkata, menyedari bahawa kesenangan hidup di dunia boleh mendo-rong kepada kemungkaran, maka pelbagai ikhtiar akan dibuat untuk mengelaknya daripada berlaku.

“Pada masa yang sama kerajaan yang diterajui oleh Menteri Besar Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat juga akan memastikan agar usaha-usaha untuk mengelak kepapaan dan kemerempatan tidak sampai mendorong kepada rakyat negeri ini lupa kepada usaha mendekatkan diri kepada Allah yang sepatutnya dilakukan secara gigih dan ketagih,” tegasnya ketika berucap merasmikan Bengkel Jahitan Muslimah Jal Kecil, Tumpat baru-baru ini.

Katanya, antara usaha untuk mengelak kepapaan dan kemerempatan ialah melalui penglibatan rakyat di negeri ini mengkomersialkan kebolehan masing-masing dalam pelbagai bidang dan kerana itulah diwujudkan program satu kampung satu produk.

“Kerajaan hanya mampu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk modal tetapi jaminan kejayaannya terpulang kepada kegigihan usaha yang dibuat di samping berdoa dan berserah kepada Allah agar segala usaha membuatkan kejayaan. Orang Islam tidak boleh lupa berdoa,” tegasnya.
Beliau memberi contoh beberapa orang yang meminta bantuan bagi mengusahakan projek yang pada mulanya dianggap agak lucu seperti pembuatan tapai dan jeruk mamang tetapi akhirnya pengusaha berkenaan memperolehi pendapatan yang cukup lumayan setiap bulan.

“Oleh itu apabila mahu memulakan perniagaan hendaklah dimulakan secara kecil-kecilan dan berdasarkan pengalaman serta kemahiran yang ada.  Jangan meniru bidang perniagaan orang lain,” ujarnya.

Di majlis itu, beliau memberi jaminan akan meluluskan serta merta permohonan bagi mendapatkan pinjaman untuk memulakan sesuatu perniagaan yang menggunakan modal kecil tetapi memberi pulangan yang besar.

Haji Omar yakin program satu kampung satu produk boleh dijayakan kerana setiap rakyat Kelantan pada setiap kampung mempunyai kemahiran dan pengalaman tersendiri yang boleh dimanfaatkan bersama.

Beliau berkata, antara bidang yang boleh dijayakan ialah penghasilan bahan-bahan makanan, bidang pertanian, ternakan dan ketukangan termasuk kraftangan.

Kerana itulah, tambahnya, kerajaan berani merancang untuk menjadikan Kelantan sebagai 'Jelapang Makanan Negara' di samping memastikan setiap rakyat supaya apabila menjadi semakin hidup senang semakin dekat diri dengan Allah dan menjadi hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Matlamat kerajaan negeri adalah bagi memastikan rakyat menerima semua manfaatnya untuk di dunia dan mendapat laba di akhirat.


HOME