Make your own free website on Tripod.com

Kempen hidup mewah punca penyakit sosial

KEMPEN hidup mewah yang disiarkan oleh media massa dianggap sebagai salah satu punca berlakunya gejala sosial dan penagihan dadah di kalangan remaja di negara ini sekarang.

Menteri Besar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kempen-kempen kehidupan seperti itu telah mempengaruhi kehidupan remaja sehingga menyebabkan mereka terjebak dengan gejala kurang sihat.

“Kempen untuk menggambarkan kehidupan mewah bukan tidak boleh....tetapi hendaklah tidak mendorong orang lain ke arah merosakkan pemikiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, kempen hidup mewah itu menggambarkan pertentangan terhadap peringatan Allah terhadap umatnya supaya mengamalkan kehidupan secara sederhana.

“Dadah dan arak diharamkan oleh Islam kerana ia boleh merosakkan pemikiran umat manusia,” tambahnya.

Menurutnya, peringatan tentang pembalasan yang bakal diterima oleh mereka yang terlibat dengan gejala itu sedikit sebanyak boleh mengurangkan masalah penagihan dadah dan gejala sosial.
Katanya, peringatan tentang pembalasan neraka boleh menjadi benteng kepada remaja yang terjebak dengan gejala tersebut supaya lebih berhati-hati.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis solat hajat kempen anti dadah dan gejala tidak sihat di Padang Majlis Daerah Pasir Mas di Rantau Panjang awal Mei lalu, beliau berkata, ulama hendaklah mengubah tradisi dengan mendekati golongan remaja bagi menyampaikan mesej dakwah.

“Ulama perlu mencari pendekatan bagi mendekati golongan remaja terutamanya mereka yang sudah menamatkan alam persekolahan. Pengajaran seperti yang disampaikan di kelas-kelas tidak sampai kepada mereka kerana golongan itu tidak lagi berada di sekolah.

“Oleh itu ulama hendaklah berusaha mencari pendekatan sesuai untuk mendampingi golongan itu,” ujarnya.


HOME