Make your own free website on Tripod.com

700 pelajar YIK ke universiti Timur Tengah

SERAMAI 700 pelajar lepasan Sijil Tinggi Ugama (STU) kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah mendaftar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti di Timur Tengah bagi sesi pengajian tahun ini.

Bilangan itu bertambah berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 480 orang.

Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) YIK, Ustaz Ismail Nuh berkata, bilangan pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan dan Timur Tengah sentiasa bertambah setiap tahun. Pada tahun 1990 seramai 100 pelajar, 1991 (150 pelajar) dan 1992 serta 1993 (300 pelajar) melanjutkan pelajaran keTimur Tengah.

Ustaz Ismail juga berkata, YIK juga sedang berusaha untuk memastikan lulusan STU dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan tanpa menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terlebih dahulu.

“Ini memandangkan sijil STU pelajar-pelajar YIK sudah lama diiktiraf oleh universiti di Timur Tengah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, YIK sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa bagi membolehkan pelajar-pelajar lulusan STU melanjutkan pelajaran ke universiti berkenaan tanpa menduduki peperiksaan STPM.

“Sekarang sudah ada tanda-tanda awal universiti tempatan juga akan mengiktiraf lulusan STU dari sekolah-sekolah YIK,” katanya ketika perasmian bangunan baru Sekolah Menengah Ugama (Arab) Arabiah Pasir Mas di sini baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar, YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman merasmikan bangunan baru itu, yang berharga RM850,000 dan telah digunakan mulai tahun ini. 


HOME