Make your own free website on Tripod.com

Maahad Dakwah akan hantar pelajar ke China

Maahad Dakwah Wal Imamah, sebuah institusi pengajian tinggi milik Yayasan Islam Kelantan (YIK), akan menghantar dua pelajarnya untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di Republik Rakyat China.

Usaha menghantar pelajar ke negara berkenaan dilakukan bagi membolehkan mereka mendalami pengajian bahasa dan kebudayaan Cina bagi tujuan mengembangkan syiar Islam.

Mudirnya, Ustaz Hassan Mat Leh berkata, dua pelajar tahun akhir yang sudah menamatkan pelajaran dan berkebolehan menguasai bahasa Cina akan dipilih.

“Sekarang pihak Yayasan Islam Kelantan (YIK) sedang mengenalpasti universiti yang sesuai; antara yang dicadangkan ialah yang terletak di bahagian utara Beijing,” katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan hasrat itu menjadi kenyataan YIK akan menghantar pegawainya ke negara berkenaan untuk mendapat gambaran lebih jelas tentang peluang belajar di sana.
Beliau berkata, pelajar yang terpilih akan disediakan kemudahan pinjaman sepanjang tempoh pengajian di negara tersebut.

“Pelajar yang berada di China juga boleh membantu mengembangkan syiar Islam kepada masyarakat di sana,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi merealisasikan hasrat Maahad Dakwah untuk mengeluarkan pendakwah berwibawa dan berkelayakan.

Pengajian bahasa Cina memang sudah diadakan di maahad itu sejak mula diwujudkan, iaitu selama dua jam seminggu.

Ada di kalangan pelajar-pelajar Maahad Dakwah yang sudah menguasai pengetahuan asas mengenai bahasa tersebut terutamanya dari segi pertuturan.


HOME