Make your own free website on Tripod.com

Tanah untuk industri petrokimia dikenalpasti

KERAJAAN negeri melalui beberapa agensinya telah mengenal pasti keluasan tanah yang akan terbabit dengan projek perusahaan petrokimia di Pantai Senok, Bachok.

Sehubungan itu, sebanyak 547 pemilik tanah dikenalpasti terbabit dengan pengambilan tanah untuk dijalankan projek itu yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2000.

Timbalan Menteri Besar, YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) telah mengemukakan permohonan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok bagi menjalankan projek pengambilan tanah di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini proses pengambilan tanah berkenaan belum dijalankan kerana pewartaan Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) belum lagi dikuatkuasakan selepas ia diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini.

“Adalah dijangka pendaratan gas bagi projek itu akan bermula pada akhir tahun 1999,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri, 17 Jun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Kemudahan Awam dan Kesihatan, Haji Hassan Abdullah berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membaiki infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan perindustrian di Tanah Merah.

Katanya juga, kerajaan negeri bercadang mewujudkan kawasan perindustrian baru di Batang Merbau (Tanah Merah) membabitkan tanah seluas 500 ekar yang melibatkan kos RM51.7 juta dan di Keleweh (252 ekar) membabitkan kos RM13 juta.


HOME