Make your own free website on Tripod.com

MB alu-alukan taklimat Pelan Induk Perindustrian 1996-2005 bagi Kelantan

SEKTOR industri di Kelantan dijangka pesat dengan wujudnya kerjasama erat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi sama-sama menjayakan usaha ke arah itu.

Menteri Besar, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kelantan turut mendapat perhatian kerajaan Pusat bagi menjayakan sektor industri sebagaimana negeri-negeri lain.

“Biarpun berlaku perbezaan politik di antara negeri dan Pusat, namun pihak kementerian terbabit bersedia memberi kerjasama bagi memesatkan lagi pembangunan industri di Kelantan,” katanya selepas menghadiri taklimat ‘Pelan Induk Perindustrian Kedua 1996-2005’ di Bilik Gerakan Negeri, 7 Mei lalu.

Menurutnya lagi, taklimat yang diadakan itu juga merupakan julung kali diadakan sejak Angkatan menerajui negeri ini. Di mana taklimat yang sama pernah diadakan pada kira-kira 10 tahun lalu bagi pelan industri peringkat pertama.

Pengarah Bahagian Industri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Samad Kassim menyampaikan taklimat itu bagi pihak Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Menteri Besar berkata, beliau berterima kasih atas kesudiaan pihak kementerian berkenaan memberi taklimat mengenai perkembangan industri di negeri ini bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Sehubungan itu, beliau berkeyakinan prospek pembangunan industri di Kelantan akan terus berkembang ekoran kerjasama erat itu.

“Dalam perkembangan ini, saya juga berharap rakyat bersedia menyahut cabaran itu sama ada dari segi mental dan fizikal,” ujarnya.

Pelan induk perindustrian kedua itu mengandungi antaranya, cabaran industri di Malaysia, pembangunan, industri elektrik, elektronik, tekstil, pakaian, kimia, pertanian dan produk makanan.


HOME