Make your own free website on Tripod.com

TOK BALI SEDIA DIBANGUNKAN

TOK BALI kini tidak asing lagi kepada nelayan-nelayan laut dalam dan pantai di kawasan Pantai Timur untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka sebelum dipasarkan ke seluruh negara.

Biarpun belum lengkap dengan segala kemudahan, pangkalan Tok Bali dianggap oleh nelayan laut dalam  sebagai satu-satunya pangkalan di sebelah sini yang mampu menampung bot-bot besar mereka untuk mendaratkan hasil tangkapan.

Kawasan perairan yang dalam membolehkan bot mereka rapat ke kuala dan terus ke jeti yang dibina untuk mendaratkan hasil tangkapan.

Ini menjadikan Tok Bali  sentiasa sibuk setiap hari dengan kehadiran bot-bot nelayan laut dalam dan pantai.

Bot-bot nelayan dari negeri jiran termasuk Terengganu dan Pahang turut menggunakan jeti itu bagi  mendaratkan hasil tangkapan mereka.

Jurucakap Jabatan Perikanan berkata, sehingga kini sebanyak 64 bot nelayan laut dalam dan pantai menggunakan pangkalan itu untuk mendaratkan ikan.

Katanya, jumlah bot itu termasuk 32 buah kepunyaan nelayan Bachok, 24 buah nelayan dari Besut, Terengganu dan 10 buah dari Kuantan serta empat buah lagi dari Kota Bharu.

Jurucakap itu berkata, pangkalan itu menjadi tumpuan bot-bot besar sejak dua tahun lalu memandangkan kedalaman air di pangkalan Tok Bali sesuai untuk bot-bot besar.

Beliau juga berkata, nelayan-nelayan laut dalam dari Besut  menggunakan pangkalan Tok Bali  memandangkan pangkalan di Kuala Besut cetek dan tidak dapat dimasuki oleh bot besar.

“Pangkalan Tok Bali sekarang dikendalikan sendiri oleh nelayan-nelayan tempatan, dan mereka bergotong royong membina jeti kayu untuk memudahkan bot mendaratkan hasil tangkapan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, ikan-ikan yang didaratkan di pangkalan itu dihantar ke seluruh negara termasuk di Pasar Borong Selayang di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pangkalan Tok  Bali menjadi tumpuan bot-bot laut dalam terutamanya pada hari Khamis selepas mereka keluar menangkap ikan pada hari Sabtu.

Sebahagian besar bot-bot laut dalam tiba di pangkalan itu pada awal pagi dan kenderaan-kenderaan pengangkut ikan iaitu lori kecil sedia menanti untuk menghantar ikan ke pasar yang telah ditetapkan.
Penduduk-penduduk kampung juga setiap awal pagi berkunjung ke pangkalan itu untuk mendapatkan ikan yang segar dengan harga yang lebih murah.

Menurutnya lagi, sebelum pangkalan Tok Bali wujud nelayan-nelayan menggunakan Pangkalan Petah di Bachok sebagai tempat mendaratkan hasil tangkapan.

Bagaimanapun pangkalan itu sekarang tidak lagi menjadi tumpuan bot-bot besar memandangkan perairannya semakin cetek.

Pangkalan Tok Bali tidak lama lagi akan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan yang akan dilengkapkan dengan jeti, kilang ikan sardin, kilang air batu dan kawasan perumahan.

Sementara itu,  beberapa nelayan dan pengusaha bot berharap kerajaan memajukan pangkalan Tok Bali sebagai tempat pendaratan ikan yang lengkap dengan segala kemudahan moden.

Menurut mereka, pembinaan jeti konkrit yang lebih luas dapat menampung lebih banyak jumlah bot dalam satu masa.

Katanya, kerajaan perlu menyegerakan pembinaan pangkalan itu memandangkan Tok Bali sekarang menjadi tempat pendaratan ikan yang terbesar di kawasan ini.


HOME