Make your own free website on Tripod.com

Islam tidak sekat kegiatan seni budaya

ISLAM tidak pernah menyekat kegiatan seni dan budaya selagi penggiat dan peminatnya tidak bersekongkol  dengan kesenian dan kebudayaan yang bercang-gah dengan Islam, kata YAB Menteri Besar Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berucap merasmikan Pesta Wau Antarabangsa di Seri Tujuh dekat sini, beliau berkata Rasulullah sendiri menggalakan umatnya mengajar anak-anak bersyair supaya mereka mampu mengukir ungkapan-ungkapan indah lagi berseni.

“Rasulullah juga menggalak umatnya belajar memanah dan berenang, malah Rasulullah pernah berlawan lumba lari dengan Siti Aisyah, isteri baginda. Ini membuktikan bahawa kegiatan riadah termasuk kegiatan seni dan budaya tidak disekat asalkan segala kegiatan tidak menyebabkan penggiat dan peminat mengabaikan sembahyang dan segala larangan Allah,” tegasnya.

Berteraskan hujjah itulah, katanya, kerajaan negeri tidak menyekat rakyat negeri ini bermain kertok, rebana, gasing, coh dan kegiatan-kegiatan kesenian yang tidak membabitkan percampuran lelaki dan wanita serta yang tidak membabitkan pemujaan hantu dan sebainya.

Antara yang dibenarkan Kerajaan Kelantan ialah persembahan dikir barat yang dibekukan baru-baru ini kerana ada pihak yang mengambil ksesempatan menyalahgunakan kebenaran.
Katanya, mereka melanggar peraturan yang telah ditetapkan, menyebabkan maksud asal untuk berhibur dan merehatkan fikiran menjadi sebaliknya.

Penglibatan para artis di pentas-pentas dikir barat serta persembahan yang diadakan melebihi jam 12 malam menyebabkan anak-anak menjadi leka dan ponteng sekolah.  Yang bekerja pula lambat ke pejabat, yang bekerja sendiri lewat memulakan kerja kerana mengantuk di samping berlaku pergaulan bebas remaja lelaki dan wanita yang jika tidak segera dibendung akan menimbulkan masalah sosial.

Lagi pun, tambahnya, dengan penglibatan para artis secara tidak langsung menyebabkan berlaku ketidak-adilan agihan pendapatan apabila para artis yang baru terbabit di pentas-pentas dikir barat diberi bayaran yang lebih tinggi sedangkan penggiat dikir barat yang telah banyak membuang masa dan tenaga sejak sekian lama menikmati bayaran yang jauh lebih rendah. Pembahagian perolehan yang tidak adil itu bertentangan dengan dasar kerajaan.

Sementara itu ketika bercakap mengenai perkara yang sama di Kampung Pasir Besar Temangan, YAB Menteri Besar berkata pembekuan persembahan dikir barat akan dicairkan semula setelah penggiat-penggiat dikir barat dapat memberikan jaminan yang meyakinkan bahawa kes-kes pelanggaran syarat tidak akan berulang.