Make your own free website on Tripod.com

Perbezaan politik bukan benteng pemisah untuk baiki hidup rakyat - Hussein Ahmad

PENGERUSI Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang juga veteren Umno, Tan Sri Hussein Ahmad, berkata walaupun ideologi parti yang mendokong Kerajaan Kelantan dan kerajaan pusat berbeza, ianya tidak patut dijadikan benteng pemisah bagi penggemblengan tenaga untuk membaiki taraf hidup rakyat.

“Tuan Guru Dato' Nik Aziz bukan Menteri Besar orang Pas sahaja dan saya selaku Pengerusi KADA bukan untuk orang Umno sahaja. Tuan Guru adalah Menteri Besar bagi semua rakyat Kelantan dan saya pula Pengerusi KADA untuk semua penduduk dalam kawasan KADA tanpa mengira fahaman politik,” tegasnya.

Beliau berucap pada Majlis Penanaman Sayur Berkelompok di Kampung Nilam Baru Nilam Puri oleh Menteri Besar, 11 Jun lalu.

Oleh itu, tegasnya, semua rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman politik mesti mengakui bahawa Tuan Guru Nik Aziz adalah Menteri Besar Kelantan dan saya adalah Pengerusi KADA untuk semua penduduk dalam kawasan KADA, bukan untuk puak-puak dan kumpulan tertentu.

Katanya, tidak salah jika kerajaan dan agensi-agensi kerajaan negeri serta kerajaan dan agensi-agensi kerajaan pusat bekerjasama dan melupakan soal-soal politik yang sepatutnya hanya diambil peduli semasa edah pilihanraya sahaja, itu pun sekadar berbalah dan bercanggah ideologi bukannya berbalah peribadi sampai tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

Katanya, rakyat dan aktivitis politik tidak seaptutnya berpolitik pada sepanjang masa, pada semua keadaan dan pada semua tempat.

Tan Sri Haji Hussein terharu dengan sikap terbuka Tuan Guru Menteri Besar yang sanggup hadir pada majlis-majlis anjuran KADA walaupun Tuan Guru juga barangkali menghadapi masalah tanggapan negatif daripada penyokong partinya seperti yang dihadapi oleh beliau kerana mengundang Tuan Guru.

Sebelum ini YAB Menteri Besar memenuhi undangan Tan Sri Hussein Ahmad melawat kerja-kerja pembentengan Sungai Kelantan dengan guni pasir berhampiran rumah pam di Lemal bagi menakung air sungai yang cetek dan mendatangkan masalah kepada pembekalan air ke sawah-sawah dalam kawasan KADA.