Make your own free website on Tripod.com

Desa Taqwa perlu dapat perhatian lebih daripada pemimpin masyarakat

Kerajaan Kelantan untuk sementara ini tidak  menambahkan lagi bilangan Desa Taqwa tetapi akan memberi tumpuan penuh kepada Desa Taqwa yang sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum, YB Ustaz Hassan Muhamad, berkata mana-mana Desa Taqwa yang selama ini kurang cergas akan ditingkatkan lagi program untuk mereka.

Berucap setelah mendengar taklimat pembangunan Desa Taqwa dan pentadbiran kebajikan peringkat Jajahan Jeli di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli baru-baru ini, YB Ustaz Hassan menegaskan bahawa matlamat dan suasana Desa Taqwa yang dianjurkan oleh Kerajaan Kelantan tidak serupa dengan program pembangunan desa yang dilakukan oleh pihak-pihak lain seperti Desa Wawasan dan sebagainya.

Katanya, Desa Taqwa amat memberatkan pembangunan insan ke arah kesempurnaan taqwa rakyat yang terlibat. Pembangunan fizikal dan material di desa berkenaan hendaklah dihubungkan dengan peningkatkan ketaqwaan kepada Allah.

Beliau menegaskan bahawa penghulu, imam dan wakil rakyat hendaklah meningkatkan lagi kesungguhan dan membuktikan kepimpinan mereka untuk menjayakan segala program Desa Taqwa.

Melalui kepimpinan penghulu, imam dan wakil  rakyat, misalnya, jawatankuasa sesebuah Desa Taqwa dapat melakukan penyelarasan dengan pegawai-pegawai tadbir di Pejabat Tanah dan Jajahan serta lain-lain jabatan terutamanya dalam urusan-urusan  mendapatkan dana peruntukan pembangunan, khidmat nasihat dan kemudahan-kemudahan bagi menjayakan setiap program Desa Taqwa.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan Desa Taqwa sebenarnya hanya dapat dicapai sekiranya rakyat terbabit menunjukkan kesungguhan mengemukakan cadangan, melaksanakan program dan melibatkan diri dalam segala projek Desa Taqwa itu.

“Penduduk di Desa Taqwa sendiri yang perlu melaksanakan program ini dengan meningkatkan program dan penyertaan mereka mengikut matlamat Desa Taqwa  bagi kebaikan hidup mereka di dunia dan akhirat,” jelas Ustaz Hassan.

Sebelum mendengar taklimat tentang Desa Taqwa dan pembangunan kebajikan di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli, Ustaz Hassan mendengar taklimat daripada jawatankuasa Desa Taqwa  Kampung Gemang di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN Air Lanas).

Ahli Exco, YB Ustaz Abdullah Yakub selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Air Lanas, turut serta di majlis itu yang diadakan di masjid Gemang sebaik sahaja selesai bersembahyang zohor.