Make your own free website on Tripod.com
Mulakan Dengan Yang Mudah

    Saya masih ingat masa mula-mula YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar, pada ketika itu saya masih lagi berkhidmat.  Saya bertanya kepada beliau pada hari pertama saya berjumpa dengannya: "Bagaimana cara kita hendak melaksanakan pentadbiran secara Islam?" Tidak ada apa-apa garis panduan pada ketika itu dan saya menyatakan kepada beliau, dalam keadaan kejahilan saya, mungkin kita akan menghadapi beberapa kesukaran.  Dengan senyum beliau menjawab: "Bilakah Islam tu mudah?" Kalau kecek kampong saya rebah beleping pada ketika itu, tidak terfikir Tok Guru hendak jawab begitu.

    Saya senyap, Tok Guru senyap, sama-sama senyap.  Dia tidak berkata apa-apa, barangkali kerana beliau memerhatikan betapa terkejutnya saya, dan saya tidak berkata apa-apa kerana sememangnya saya terkejut.  Lama kemudian beliau terus berkata: "Buatlah yang mudah-mudah dahulu, yang tidak payah habis pitih, yang tidak payah menyusahkan orang." Buat gapo dia, saya bertanya?  Beliau berkata: "Perkara yang mudah banyak, yang payah tidak banyak tetapi oleh kerana perkara mudah ini terlalu banyak, maka orang tidak cara kepada dia kerana banyak dok oh".

    Kemudiannya dalam satu perjumpaan lain, beliau menyatakan hasrat ingin memulakan sesuatu majlis dengan membaca Al-Fatihah dan mengakhirinya dengan surah Al-Asar dan tasbih kaffarah.  Perkara yang paling senang, paling mudah, tidak ada perbelanjaan wang perlu dikeluarkan, hanya memerlukan beberapa helai kertas untuk disebar kepada ketua-ketua jabatan dan kakitangan, yang seperti saya pada masa itu, belum tahu lagi mengenai adab tersebut.  Jadi perkara kecil dan mudah begini telah dimulakan dahulu.

    Perkara kedua yang Tok Guru sebut dengan muka kerut-kening, seolah-olah menunjukkan beliau tidak boleh ok lagi, Tok Guru tidak mahu pitih kerajaan terlibat dengan riba.  Pada ketika itu saya berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri.  Dia kata tolong pindah semua pitih dalam bank ke bank yang tidak riba.  Itu perkara kedua yang saya ingat.  Perkara ketiga ialah aurat.  Tentang aurat ini, kita hanya keluarkan satu surat pekeliling yang tidak mengeluarkan belanja apapun.  Alhamdulilah bermula dari situ, satu demi satu perkara dilakukan sampailah kita ada pada hari ini.

    Walaupun ada pihak yang menyatakan kita mulakan dengan perkara yang payah dahulu dan tak cara dengan perkara yang mudah, biarlah dia kata begitu dengan mata dia yang tidak melihat dan dengan telinga dia yang tidak mendengar.  Biar kita tetap usahakan usaha-usaha kita ini.

    Saya berharap muzakarah hari ini, yang pertama kali diadakan, sebagai satu langkah awal ke arah program yang akan berterusan satu demi satu untuk menegur, membaiki, menyelaras dan mendidik masyarakat kita.  Mudah-mudahan insya-Allah akan tercapailah cita-cita kita membina satu masyarakat yang benar-benar menghayati cara hidup Islam yang akan pada akhimya memudahkan pembentukan cita-cita kita ke arah sebuah daulah Islamiyyah.