Make your own free website on Tripod.com

JANGAN LUPA DARATAN

BELANJAWAN Kerajaan Kelantan tahun 1998 yang kurang 2.39 peratus daripada belanjawan tahun 1997 dicadangkan bagi meneruskan lagi dasar jimat cermat, lebih berhemat dan teliti agar perbelanjaan yang mustahak sahaja diberi pertimbangan.

Ciri-ciri ini sudah diamalkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 1991 dan menampakkan kesan yang baik dan selamat bagi Kelantan ketika suasana ekonomi negara berjerebu sekarang.

"Kita terselamat dari himpitan hutang dan tekanan perasaan, kerana apa yang kita telah amalkan itu sudah sama parasnya dengan keperluan dalam suasana ekonomi yang muram ini," kata Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ucapan membentang Belanjawan Negeri Kelantan 1998 di persidangan Dewan Undangan Negeri 28 Oktober lalu.

Beliau mengingatkan bahawa sebagai manusia yang bersifat hamba kepada Allah hendaklah pada setiap masa dan ketika menghindarkan diri dari bersifat angkuh, sombong dan serba tahu terhadap sesuatu kerana sifat sedemikian menyebabkan kita menjadi lupa daratan, yang boleh mempengaruhi perbuatan kita sehingga menjadikan kita boros di waktu berbelanja dan suka bermegah-megah.

Ketika mencadangkan sebanyak RM 285,261,995 bagi Belanjawan Negeri Kelantan Tahun 1998, YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar menjelaskan bahawa belanjawan yang dicadang itu merupakan suatu belanjawan yang mencabar.

"Belanjawan Negeri Kelantan pada tahun 1998 . . . merupakan suatu belanjawan yang mencabar kerana hasil negeri yang amat terhad dan menghadapi perbelanjaan mengurus yang sentiasa bertambah, perbelanjaan pembangunan tetap tidak dikecualikan demi untuk kepentingan dan kesejahteraan hidup rakyat Negeri Kelantan," jelas beliau.

Belanjawan tersebut adalah berkurangan sebanyak RM 6.89 juta atau 2.39 peratus jika dibandingkan dengan anggaran perbelanjaan tahun 1997.

Tuan Guru Dato’ Menteri Besar menjelaskan bahawa kekurangan itu adalah kerana kekurangan yang ketara projek-projek Imbuh Balik Persekutuan.

Mengulas tentang jerebu ekonomi yang telah menggerudumkan nilai mata wang dan index komposit di Bursa Saham Kuala Lumpur, Tuan Guru Dato’ Menteri Besar berkata, suasana itu sepatutnya mengingatkan kita bahawa kejayaan kita mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dan pengurusan kewangan bukanlah kerana kepandaian dan kebijaksanaan kita semata-mata, tetapi nun di sana terdapat satu kuasa besar yang maha agung iaitu kekuasaan Allah, Tuhan semesta alam.

"Apa yang lebih penting kepada kita sebagai pengurus harta awam . . . ialah sifat amanah dan bertanggungjawab dalam semua perlakuan dan perbuatan kita," katanya.

Beliau mengingatkan para pegawai pengawal supaya tidak terperosok dalam amaran Nabi s.a.w.. tentang mereka yang rugi di dunia dan menyesal di akhirat.

"Bagi Kerajaan Negeri Kelantan saya selalu memperingatkan para pegawai pengawal supaya mengamalkan jimat cermat sejak dari dulu dalam apa jua perbelanjaan yang melibatkan harta dan dana awam," tambah beliau.