Make your own free website on Tripod.com
MB Siasat Tanah Balak
KESAN pembalakan dan dakwaan pencerobohan tanah yang dilakukan oleh pihak tertentu di Bukit Chabang Tongkat, Machang, telah menarik perhatian YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, baru-baru ini.

Kedudukan sebenar tanah itu sama ada masih lagi sebagai kawasan hutan simpan kekal atau tanah kerajaan negeri yang boleh dibangunkan menjadi pertikaian di antara Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Machang.

Sehingga kini, Jabatan Perhutanan telah meluluskan dua kilang papan menjalankan kerja-kerja penebangan balak di kawasan tersebut.

Penebangan balak dan penerokaan haram di situ dikatakan juga menjejaskan kawasan tadahan air yang berhampiran. YAB Tuan Guru yang menerima aduan tentang perkara tersebut bergegas ke kawasan berkenaan pada 6 November lalu, mendaki bukit dengan kenderaan pacuan empat roda dan berjalan kaki dalam keadaan hujan bagi melihat sendiri keadaan sebenar tanah di Bukit Cabang
Tongkat.

Beliau diiringi Pengarah Jabatan Perhutanan, Masran Mohd Salleh; Penolong Ketua Jajahan Machang, Mohd Fauzi Che Mat; Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Suprintendan Zainuddin Yaakob dan Setiausaha Sulit Menteri Besar, Haji Alwi Abdul Aziz.

Sebelum mendaki kawasan bukit itu, Menteri Besar dibawa melihat longgokan lebih 1,000 balak di Kampung Cabang Tongkat yang ditahan oleh pihak penguatkuasa Pejabat Tanah dan Jajahan Machang kerana diletak tanpa kebenaran.

Pihak Pejabat Perhutanan mendakwa kawasan seluas 104 hektar di Bukit Cabang Tongkat telah dikeluarkan daripada tarafnya sebagai hutan simpan sejak 1981 bagi dijadikan kawasan pembangunan, setelah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), ketika itu.

Bagaimanapun, Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Machang mempertikaikannya kerana surat pengesahan MMK mengenai pertukaran status tanah itu belum diterima dan Jabatan Ukur belum menukar sempadannya.

Ekoran masalah tersebut Tuan Guru Dato’ Menteri Besar mahukan kedua-dua pihak menyelesaikannya di meja perundingan. "Kesamaran status tanah itu berlaku kerana pihak PTJ Machang menganggapnya sebagai hutan simpan; sebaliknya, pihak Jabatan Perhutanan menganggapnya sebagai tanah pembangunan kerajaan," katanya selepas melawat kawasan berkenaan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mahukan penyelarasan diadakan di antara Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Jajahan seluruh negeri ini bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.