Make your own free website on Tripod.com
Pembangkang Digesa Tegur Pemimpin Sendiri
PIHAK pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan digesa oleh YB Ustaz Nasuruddin Haji Daud (PAS - Meranti), supaya menegur pemimpin mereka yang melaksanakan perkara bertentangan dengan syariat.

"Saya harap tegur pemimpin mereka yang tak laksanakan Islam dengan hikmah, jika tidak nanti kena buang macam bekas Mufti Selangor," ujarnya sambil menujukan gesaannya itu kepada Ketua Pembangkang YB Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir (BN - Melor).

Beliau berkata demikian ketika membahas titah ucapan Sultan Kelantan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, akhir Oktober lalu.

Ketika menyentuh perkara membendung gejala negatif di kalangan belia, Ustaz Nasaruddin berkata sekiranya pendidikan Islam menerusi Pusat Pengajian Tinggi (IPT) hanya ditubuhkan sekadar memenuhi ruangnya, tidak mustahil ada di kalangan mereka akan menggadaikan prinsip keilmuan.

Jelasnya, dalam usaha membendung keruntuhan maruah Islam, pembangunan syaksiah amat penting ditanam ke dalam jiwa golongan muda sejak awal lagi.

"Jika tidak mereka hanya pandai bercakap tentang Islam sahaja tanpa melaksanakannya dan paling teruk lagi pemikiran rakyat akan dilanda jerebu akibat tidak mendapat penerangan Islam yang sebenarnya," ujarnya lagi.

Menurut beliau dasar yang berlandaskan pendidikan Islam diharap dapat membentuk pembinaan syaksiah pelajar yang sebenarnya menurut kacamata Islam sebagai usaha membendung gejala negatif di kalangan belia.

Katanya lagi, jika dasar pendidikan negara tidak dapat melahirkan pemikiran Islam, penentangan terhadap hukum Allah akan berlaku termasuk masalah menutup aurat di kalangan wanita.

YB Ustaz Hassan Mahmud (PAS - Tawang), yang turut membahas titah ucapan meminta kerajaan Pusat lebih berhati-hati terhadap majalah yang merosakkan pemikiran masyarakat khususnya remaja. Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya lebih peka terhadap majalah yang boleh membina pemikiran rakyat dengan sebaik-baiknya.

Apa yang kita tengok majalah-majalah yang mendapat kelulusan dari KDN lebih merosakkan akhlak dan perilaku remaja berbanding akhbar rasmi PAS. "Harakah tak ada apa, cuma dia lebih merosak dan menyeksa pemikiran orang Umno sahaja," ujarnya sambil menunjukkan beberapa majalah tempatan kepada Dewan.