Make your own free website on Tripod.com
Kerajaan Kelantan Dan MAIK Sama-Sama Bayar Elaun Imam Dan Bilal
KERAJAAN Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sama-sama membayar elaun kepada imam tua, imam muda dan bilal mengikut kadar 50 - 50 peratus. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM131,676 bagi elaun kepada imam tua, imam muda dan bilal yang berkhidmat di seluruh masjid di negeri ini.

Elaun berkenaan dibayar kepada 450 orang imam tua, 247 imam muda dan 434 bilal yang berkhidmat dengan MAIK di 527 mukim di Kelantan.

Berdasarkan peruntukan itu elaun yang dibayar setiap bulan kepada imam tua sebanyak RM150, imam muda (RM105) dan bilal (RM90). Ini bermakna jumlah elaun imam tua daripada Kerajaan Negeri dan MAIK ialah RM300, imam muda (RM210) dan bilal (RM180). Selain itu, Kerajaan Negeri dalam belanjawan tahunannya memperuntukkan sebanyak RM2 juta lagi kepada MAIK.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan, YB Ustaz Mohamed Daud berkata demikian sebagai menjawab soalan YB Ustaz Yusof Abdullah (PAS - Bukit Tuku) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, akhir Oktober lalu.

Menurutnya, bagi membayar elaun petugas masjid itu Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan setiap tahun.

Ustaz Mohamed juga berkata, sejak 1995 sehingga pertengahan Oktober lalu mukim baru diwujudkan seperti Batu 11, Jedok, Tanah Merah; Pak Kurau, Kebakat dan Jubakar di Tumpat serta Ulu Temiang, Olak Jeram, Kuala Krai untuk menampung pertambahan penduduk.

"Kerajaan Negeri juga bersedia menimbang untuk memberi elaun kepada petugas-petugas masjid tersebut melalui tangan bagi mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dengan mereka," katanya sebagai menjawab soalan tambahan Adun yang sama.

Sebelum itu, Ustaz Yusof mencadangkan Kerajaan Negeri membayar peruntukan kepada kakitangan masjid berkenaan melalui tangan bagi mengeratkan lagi hubungan kerajaan dan kakitangan terbabit.