Make your own free website on Tripod.com
Sultan Mahu Cadangan Menaikkan Taraf Lapangan Terbang Dilaksanakan
KDYMM Sultan Kelantan melahirkan rasa dukacita kerana cadangan untuk menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa masih tertangguh walaupun cadangan itu telah dipersetujui oleh pihak-pihak berkenaan.

"Ia merupakan infrastruktur yang utama untuk menggerakkan pembangunan Kelantan supaya lebih cepat dan pesat," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (Belanjawan) bagi tempoh penggal yang ketiga, 26 Oktober lalu.

Titah baginda, usaha itu perlu disegerakan memandangkan koridor perindustrian timur akan dilaksanakan di negeri ini yang meningkatkan pelaburan.

"Beta menyeru supaya pihak berkenaan dapat memberi perhatian dan mengambil peranan yang positif bagi melaksanakan perkara ini," titah baginda.

Baginda bagaimanapun berbangga minat pelabur untuk melabur di negeri ini amat tinggi sekali walaupun negeri ini belum mempunyai infrastruktur yang mencukupi seperti pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa.

Titahnya, sejak 1994 hingga sekarang terdapat 228 permohonan pelaburan yang dikemukakan kepada Pusat Pelaburan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan dari jumlah itu sebanyak 81 permohonan telah diluluskan melibatkan kos pelaburan sebanyak RM7.5 billion yang akan mewujudkan 27,000 peluang pekerjaan.

"Sehubungan ini, beta mendapati pelabur dan pihak berkenaan amat ghairah hendak melaksanakan projek di sini sehingga banyak sekali memorandum persefahaman ditandatangani," ujar baginda.

Serentak itu, baginda menyeru kerajaan negeri mengambil langkah lebih agresif bagi membangunkan kawasan-kawasan perindustrian baru sebagai persediaan kemasukan pelabur atau pengilang ke negeri ini secara besar-besaran.

Turut hadir di majlis perasmian sidang belanjawan itu ialah Raja Perempuan,  Menteri Besar, timbalannya, anggota-anggota Exco, anggota-anggota Dewan Undangan Negeri kerajaan dan pembangkang serta pegawai kerajaan.