Make your own free website on Tripod.com
1,074 Ekor Lembu Kelantan Dieksport
KELANTAN mengeksport sebanyak 1,074 ekor lembu dan 529 ekor kerbau sepanjang tahun 1996. Sehingga Ogos tahun ini 660 ekor lembu dan 52ekor kerbau telah dieksport.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa, YB Haji Omar Mohamed berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 1,732 lembu dan 504 kerbau telah dieksport ke luar Kelantan.

Menjawab soalan YB Haji Hanafi Daud (PAS - Chetok) katanya juga, pada 1996 dan 1997 sebanyak 2,069 lembu yang bernilai RM1.8 juta dan 221 kerbau (RM1.9 juta) telah diagih kepada rakyat melalui bantuan kredit ternakan.

Menurutnya, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan sentiasa mengadakan pelbagai insentif untuk menggalakkan rakyat menceburi bidang ternakan. Menggalakkan rakyat menternak lembu, kerbau, kambing, bebiri dan ayam melalui bantuan kredit ternakan.

Meningkatkan mutu baka-baka tempatan melalui pinjaman atau pembelian baka dan penyaluran teknologi pertanian. Menyediakan latihan, kursus untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang ternakan.

Penyediaan kawasan khas untuk memelihara lembu dan kerbau di tanah-tanah rezab dan padang ragut serta mengawal selia ternakan dari luar yang dibawa masuk.

Dewan Undangan Negeri juga diberitahu kerajaan negeri belum bercadang untuk membangunkan tanah-tanah rancangan seperti yang dimajukan oleh Felda atau Kesedar sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi bersepadu.

"Kerajaan negeri sedang mengkaji dan menimbangkan permohonan Koperasi Serbaguna Belia Felda Kemahang 1, Tanah Merah untuk mewujudkan bandar baru Kemahang.

"Projek itu adalah berbentuk pembangunan bersepadu meliputi pembangunan pusat bandar, kawasan industri, zon perniagaan dan perumahan yang membabitkan keluasan 8,000 ekar," kata Haji Omar menjawab soalan YB Mohd Adhan Kechik (BN - Kemahang).