Make your own free website on Tripod.com
RM150,000 Dibelanja Untuk Promosi TMK '98
KERAJAAN Kelantan sudah menjalankan beberapa promosi di dalam dan luar negara bagi menarik pelancong asing berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 1998.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan, Belia dan Sukan, YB Ustaz Abdullah Yaakub berkata, promosi ke luar negara sebelum ini diadakan di Singapura pada 3 hingga 6 April lalu dan Indonesia (22 - 28 Januari 1997).

Manakala di Eropah dilakukan pada 14 - 21 November 1997, Thailand Disember ini dan di Brunei belum ditetapkan lagi tarikhnya. Beliau berkata, perbelanjaan untuk mempromosikan Kelantan sehingga kini sudah melibatkan kos sebanyak RM150,000.

Menjawab soalan YB Haji Mohd Yusof Ludin (PAS - Panchor) katanya, kerajaan negeri juga mengedarkan ‘brochure’ melalui Lembaga Penggalakkan Pelancongan Wilayah iaitu Utara di Penang, Selatan (Johor Bahru), Pantai Timur (Kuala Terengganu), Sabah dan Sarawak.

Selain itu, pihaknya juga mengedar ‘brochure’ ke kilang-kilang di seluruh negara melalui Setiausaha Kelab Sukan dan Kebajikan. Promosi di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang sempena Pesta Malaysia ’97 dari 12 hingga 30 September lalu disertai juga dengan Exposisi Mystical Kelantan di Plaza Kuala Lumpur (19 - 30 September 1997).

Di exposisi itu juga pelancaran Tahun Melawat Kelantan ’98 di Bukit Bintang Plaza, Kuala Lumpur diadakan pada 21 September lalu. Perlancaran itu dilakukan sendiri oleh YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar.