Keupayaan Kerajaan Kelantan Tarik Pelabur
KEUPAYAAN Kerajaan Kelantan sekarang menarik pelabur luar tidak boleh dipertikaikan selepas mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan Barisan Nasional pada 1990. Sejak tempoh itu sehingga sekarang, 14 projek besar telah ditandatangani.

Jumlah pelaburan itu dianggarkan bernilai RM10.3 bilion yang berupaya menyediakan sebanyak 21,054 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia, YB Ustaz Ahmad Yakub berkata, projek berkenaan termasuk kilang simen di Gua Musang oleh Hongkew Holding Sdn Bhd melibaktkan kos RM150 juta, kilang simen oleh Ranhill Corporation juga di Gua Musang (RM700 juta).

Bandar perikanan di Tok Bali (RM800 juta), projek agro tourism Pergau (RM250 juta), bandar baru Pengkalan Kubur (RM1 bilion), projek pelancongan di Danau Tok Uban (RM350 juta), bandar peranginan Danau Tok Uban, Pasir Mas (RM885 juta).

Pembinaan terminal bas sepadu di Kubang Kerian (RM328 juta), projek industri petrokimia di Pantai Senok, Bachok (RM2 bilion), pelabuhan di Tumpat (RM360 juta), pusat peranginan Tasik Kwong,Rantau Panjang (1.5 bilion) dan projek pembinaan infrastruktur sesalor perkongsiam (RM324 juta).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan YB Ustaz Nasuruddin Haji Daud (PAS - Meranti) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, 26 Oktober lalu.

Sementara itu, menjawab soalan YB Ustaz Hassan Mahmood (PAS - Tawang), Ustaz Ahmad berkata, projek bandar baru Pengkalan Kubur akan mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan selepas ia dilaksanakan.

"Peluang pekerjaan penduduk tempatan dalam perniagaan dan perusahaan pastinya akan bertambah. Keadaan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran," katanya.

Tahap kemajuan projek itu sekarang adalah di peringkat mengemukakan permohonan kepada pihak pentadbir tanah untuk memproses permohonan mengambil balik tanah bagi komponen yang dikategorikan sebagai kemudahan awam.

Manakala kategori lain belum diproses dan sedang menunggu pelaksanaan Akta Pengambilan Balik Tanah (Pindaan) yang dibuat di peringkat persekutuan tetapi belum lagi dikemukakan kepada Kerajaan Kelantan.

Menjawab soalan tambahan YB Mat Nawawi Mat Jusoh (BN - Pengkalan Kubur) katanya, sebahagian besar penduduk di kawasan terbabit dengan projek bandar baru di Pengkalan Kubur itu bersetuju dengan kehadiran projek itu.