Make your own free website on Tripod.com
Pembentungan: Kerajaan Elak Bebankan Rakyat
TIMBALAN Menteri Besar, YB Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman menjelaskan rundingan secara pentadbiran akan dibuat supaya perkhidmatan pembentungan di Kelantan dilaksanakan melalui usaha sama pihak kerajaan negeri dengan syarikat-syarikat tempatan. Sehubungan itu, kerajaan Negeri Kelantan belum memutuskan lagi kebenaran kepada Indah Water Konsortium (IWK) bagi
mengendalikan pembentungan di negeri ini walaupun IWK mendapat kebenaran di negeri-negeri lain.

"Kesan yang dihadapi sekiranya penswastaan pembentungan itu dilakukan adalah penghapusan kuasa kerajaan negeri dalam perkhidmatan pembentungan.

"Manakala beban yang ditanggung rakyat adalah lebih tinggi berbanding caj dikenakan pihak berkuasa tempatan," katanya. Kerajaan Kelantan akan memastikan penswastaan sistem pembentungan di negeri ini tidak membebankan rakyat sebagaimana pernah berlaku di negeri-negeri lain sebelum arahan kerajaan Pusat mengkaji semula caj yang dikenakan oleh syarikat terbabit.

Menurut Timbalan Menteri Besar, langkah menangguhkan kebenaran kepada IWK diambil bagi membolehkan kerajaan negeri mengkaji masalah pelaksanaan dan beban yang terpaksa dipikul rakyat kesan penswastaan itu.

"Kerajaan negeri beranggapan keputusan itu amat tepat sekali kerana dalam tempoh 1995 dan 1996, iaitu semasa IWK mengambil alih pembentungan di negeri-negeri lain kecuali Kelantan, kita dapati rakyat tidak berpuas hati terutama dari segi caj yang dikenakan," katanya sebagai menjawab soalan YB Haji Hanafi Daud (PAS - Chetok) di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Katanya lagi, kegelisahan rakyat itu menyebabkan kerajaan Pusat meminta IWK mengkaji semua cajnya dan selepas itu caj baru dikeluarkan mulai 1 Januari 1997.