Make your own free website on Tripod.com
Kerajaan PAS Siapkan Projek Kerajaan BN YangTerbengkalai
KERAJAAN Kelantan sekarang berjaya menyiapkan Pasar Wakaf Baru yang terbengkalai pembinaannya sejak Ogos 1987, ketika Barisan Nasional berkuasa. Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, merasmikan pasar tersebut baru-baru ini.

Sebanyak RM2.4 juta dibelanjakan untuk menyiapkan pasar itu yang terletak di atas tapak seluas dua setengah ekar.

Sebelum ini, pada peringkat awal pembinaannya, sejumlah RM1.760 juta diperuntukan bagi pembinaannya, namun gagal disiapkan mengikut tempohnya.

Ketika merasmikannya, YAB Tuan Guru berkata, kerajaan Kelantan sekarang terpaksa mengeluarkan perbe-lanjaan lebih bagi menyiapkan beberapa projek terbengkalai yang gagal disiapkan kerajaan Barisan Nasional dulu.

Menurut telahan beliau projek berkenaan terbengkalai kerana kerajaan Barisan Nasional ketika itu tidak mempunyai perancangan rapi.

Selain pasar tersebut, kerajaan Barisan Nasional juga gagal menyiapkan rumah kedai sebanyak 41 unit yang dibina sejak 1985 yang melibatkan kos sebanyak RM2.1 juta.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Baru, YB Haji Ramli Abu Bakar berkata, selepas beberapa tahun pasar tersebut gagal disiapkan pada masa kerajaan Barisan Nasional, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara menamatkan kontrak pemaju yang membina pasar itu.

"Ketika itu sebanyak RM1.16 juta telah dibayar oleh kerajaan Barisan Nasional kepada pemaju berkenaan. Namun kemajuan projek hanya mencapai tahap 54.4 peratus sahaja," katanya di sini.

Dengan siapnya pasar baru itu, berakhirlah keadaan penuh sesak dan serba kekurangan yang terpaksa ditempuh oleh para peniaga dan pengunjung di pasar lama.