Make your own free website on Tripod.com
Majlis Daerah Kuala Krai Utara Giatkan Usaha Membangun Bersama Islam
MAJLIS Daerah Kuala Krai Utara (MDKKU) mahu terus mengadakan agenda dan mengamalkan Islam sebagai cara hidup bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Kelantan ‘Membangun Bersama Islam’.

Yang Dipertuanya, Haji Che Dir Ibrahim berkata, untuk itu antara usaha yang dilakukan ialah mengimarahkan masjid dan mengadakan forum agama.

Katanya, forum perdana yang diadakan di sini, awal Oktober lalu adalah satu pendekatan bagi mendedahkan masyarakat terhadap usaha mencari ilmu selain di masjid.

Menurutnya, langkah itu juga sebagai usaha menangani gejala tidak sihat di dalam masyarakat terutamanya di kalangan muda-mudi.

"MDKKU mahu merealisasikan ‘Membangunan Bersama Islam’ dan menjadikan Islam sebagai satu cara hidup bagi masyarakat di jajahan ini," katanya pada perasmian forum itu di Padang Kemahkotaan, Kuala Krai.

Ahli panel yang dijemput khas pada malam itu ialah bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom; Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria; dan ADUN Meranti, Ustaz Nasaruddin Haji Daud manakala pengerusi ialah Ustaz Ashaari Mustapa.

Forum tersebut dihadiri ribuan penduduk tempatan menyebabkan padang dan sekitarnya penuh sesak.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan Negeri Kelantan, Ustaz Mohamad Daud berkata, ada kajian menunjukkan gejala sosial tidak sihat itu berlaku kerana pengabaian terhadap solat.

Katanya lagi, kebanyakan pemimpin sekarang sukar hendak membentuk masyarakat kerana mereka sendiri tidak membawakan keperibadian mukmin.