Make your own free website on Tripod.com

1000 ekar untuk Perkim buka ladang dan kampung saudara baru

Tanah 1000 ekar di Kuala Krai yang disediakan Keraja-an Kelantan untuk Pertubuh-an Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) membangunkan perkampungan saudara baru Islam dan ladang kelapa sawit dirasmikan pembukaannya oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat  akhir Julai lalu.

Tanah seluas 1000 ekar yang dikurniakan oleh Kerajaan Kelantan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia bagi dijadikan perkampungan dan ladang untuk saudara baru Islam menunjukkan kesungguhan Kerajaan Kelantan mening-katkan lagi syiar dan dakwah Islam.

Bahkan, YAB Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap ladang itu kelak akan menjadi tempat tinggal pelbagai bangsa dari seluruh dunia bagi menyebarkan agama Islam.

Ketika merasmikan pembukaan ladang tersebut akhir Julai lalu, Menteri Besar berkata biarpun kemampuan Kerajaan Kelantan terbatas namun melalui usaha itu ia diharap dapat membantu saudara baru Islam untuk hidup berdikari.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri mahu melihat pendakwah di kalangan saudara baru di Kelantan boleh berdikari tanpa mengharap bantuan daripada orang lain.

Perkim cawangan Kelantan  menjadikan 500 ekar daripada kawasan yang terletak di hutan Hulu Tembeling, Batu Mengkebang, Kuala Krai sebagai ladang kelapa sawit dan 500 ekar lagi sebagai perkampungan saudara baru Islam.

Ladang yang terletak kira-kira 25 km dari Kuala Krai itu merupakan kawasan hutan yang masih ada kegiatan pembalakan.

Ladang Perkim ini boleh menjadi perkampungan terancang sebagaimana rancangan pembangunan tanah lain seperti Felda.

Menteri Besar berkata selain daripada perkampungan ini memberi peluang kepada saudara baru Islam mengerjakan ladang kelapa sawit untuk menyara keluarga, saudara baru yang sudah mendalami ilmu Islam boleh menjadi guru kepada penduduk setempat untuk menyebarkan ilmu mereka.

Beliau juga membayangkan ladang Perkim itu akan menjadi tempat tumpuan pelancong asing pada masa akan datang memandangkan alam semulajadinya yang amat menarik terutamanya bagi mereka yang ingin menikmati kedamaian di kawasan yang menghijau dengan air jernih yang mengalir di celah-celah batu-batan.

Menteri Besar telah dibawa melawat kawasan ladang kelapa sawit Perkim itu kira-kira lima kilometer daripada kawasan perkampungan.

Menteri Besar diberi kesempatan memandu jentolak dan menanam sebatang pokok kelapa sawit di tapak ladang itu.

Wakil Perkim Pusat, Abdul Kadir Abdul Hamid, berkata pemberitan tanah seluas 1000 ekar kepada Perkim memberi makna yang besar kepada pertubuhan itu untuk mengembangkan kegiatan dakwah di kalangan saudara baru.

Katanya, sokongan yang besar oleh Kerajaan Kelantan cukup bermakna bagi Perkim di negeri ini.
“Sebelum ini Perkim mempunyai sebuah bangunan di Kuala Lumpur yang lengkap dengan kemudahan klinik dan tadika, tetapi apa yang diberikan oleh Kerajaan Kelantan sekarang adalah lebih bermakna daripada itu,” katanya.

Penegerusi pembangunan ladang itu, Nik Jaafar Nik Muhamad pula berharap semua pihak turut menjayakan ladang tersebut.