Make your own free website on Tripod.com

MB hairan dengan sikap terima gaji tanpa kerja

YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat,  melahirkan rasa kehairanannya berikutan keengganan Ahli-ahli Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan (Exco) walaupun portfolio mereka sudah dilucutkan dan perkhidmatan mereka tidak diperlukan lagi.

Beliau berkata, sekiranya Exco dari parti itu berpendirian, mereka sepatutnya meletakkan jawatan secara ‘gentleman’ dan tidak perlu menunggu arahan daripada pemimpin mereka.

‘Amatlah memalukan sekiranya Exco berkenaan sanggup bertahan dalam kerajaan negeri walaupun semua portfolio termasuk jawatankuasa kecil yang diang-gotai mereka sudah dilucutkan,” ujarnya.
Tuan Guru Dato’ Menteri Besar melahir-kan rasa risau kerana Exco daripada PMS46 itu hanya menerima gaji tanpa kerja dan bagaimana nanti untuk mereka menjawabnya di hadapan Allah.
Beliau juga berkata apabila perlantikan Exco baru selesai dibuat, maka pergolakan politik Kelantan dengan sendirinya akan selesai.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tabung Bantuan Pembinaan Madrasah Darul Annuar, Pulau Melaka yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Rakyat dan Adun-Adun Negeri Kelantan di tapak bangunan tersebut.

Untuk melicinkan pentadbiran kerajaan bagi memenuhi tanggungjawabnya kepada rakyat, Tuan Guru Dato’ Menteri Besar berkata kerajaan negeri sekarang yang mempunyai lima Exco termasuk beliau sendiri memikul portfolio yang dilucutkan daripada ahli PMS46 itu.

Menurut beliau kemelut di dalam Exco kerajaan yang berlaku sekarang akan berakhir apabila kesemua Exco dari Parti Melayu Semangat 46 meletakkan jawatan atau dipecat sehingga membolehkan dilantik Exco baru yang seiring dengan kerajaan sekarang.