Make your own free website on Tripod.com
Islam dipandang serong kerana tidak dikemukakan secara syumul

Sebagai Menteri Besar Kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran ulama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, sentiasa meluangkan masa untuk mendekatkan diri dengan masyarakat pelbagai kaum.
Atas keperihatinan itu jugalah beliau telah mengadakah majlis Makan Tengahari bagi meraikan 30 masyarakat Siam Jajahan Tumpat yang diadakan di Dewan Ayub Al-Ansari, Hotel Ansar di sini baru-baru ini.

Majlis berkenaan diadakan sebagai membalas sambutan kunjungan Tuan Guru Menteri Besar, di Jajahan Tumpat ketika menyampaikan bantuan kebajikan kepada golongan miskin dan merasmikan bangunan baru perpustakaan di Wat Suwankiri pada 27 April lalu.

Sempena majlis Makan Tengahari tersebut, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menyampaikan taklimatnya kepada rombongan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Antara Kaum Negeri yang juga Pegawai Penyelaras Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Muhammad Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Wat-Wat Negeri, Encik Jimmy Teo turut berucap.

Ketika berucap di majlis tersebut Tuan Guru sekali lagi menjelaskan bahawa Kerajaan Kelantan walaupun di tadbir oleh ulama sentiasa mengambil berat terhadap golongan manoriti seperti kaum Siam.

Katanya, Islam melarang setiap penga-nutnya mengkhianati bangsa lain sekalipun mereka bukan beragama Islam, sebaliknya diminta mendekati mereka secara baik.

Tambahnya, kerana kegagalan pihak tertentu menaikkan imej Islam yang syumul, menyebabkan sebahagian besar masyarakat bukan Islam mengganggap agama suci itu menyusahkan mereka.
“Malah ada di antaranya menganggap Islam serta pejuangnya adalah ekstrim, banyak menimbulkan masalah, perosak masyarakat dan sebagainya,” ujarnya.

Encik Jimmy  mengucapkan terima kasih atas perhatian yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan terhadap masyarakatnya.

Katanya, selain daripada derma dan bantuan kepada golongan miskin di dalam masyarakatnya pihak kerajaan juga telah membina jambatan sebagai kemudahan untuk penduduk sekitar wat tersebut.