Make your own free website on Tripod.com
Ke arah pentadbiran kerajaan yang lebih bersih

Pergolakan politik yang timbul akibat putusnya persefahaman dan kerjasama antara Parti Islam
 SeMalaysia (PAS) dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Kerajaan Negeri Kelantan kerana sokongan rakyat kepada Kerajaan ini tetap padu.
Apa yang pecah dan putus hanyalah persefahaman dan kerjasama kepartian. Ini hanyalah hujan renyai-renyai yang turun di tengah panas matahari dan segera pula berhenti.  Tidak ada ribut dan halilintar yang merosakkan kehidupan rakyat.

Rakyat Kelantan tetap padu di belakang Kerajaan melalui parti yang memegang majoriti di dalam kuasa Kerajaan iaitu PAS.

Apa yang berubah sedikit ialah kumpulan kepimpinan Kerajaan yang wujud sejak mula berkuasa pada tahun 1990 atas nama Kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan. Empat orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan daripada PMS46 kini telah dilucutkan kuasa tugasan (portfolio) mereka.
Namun begitu pucuk pimpinan yang dipanggil kepimpinan ulama terus mengendalikan pentadbiran Kerajaan.  Tugas beliau, malahan, menjadi lebih mudah kerana Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan di bawah pimpinan beliau kini ialah mereka yang sehaluan, sealiran, sama fikrah, sama-sama di dalam satu parti.

Kedudukan ini semestinyalah memudahkan lagi urusan Kerajaan kerana seluruh dasar dan pokok pangkal pentadbiran kini datangnya daripada satu sumber iaitu parti yang memerintah, tidak lagi bercabang-cabang daripada pelbagai parti seperti dulu.

Inilah satu-satunya pergolakan politik yang tidak menjejaskan perjalanan Kerajaan dan rakyat Kelantan. Peristiwa ini sudah tentu menjadi sejarah yang istimewa.  Ini juga petanda paling nyata bahawa rakyat menyokong penuh dasar Membangun Bersama Islam di bawah kepimpinan ulama.
Sekarang mulalah bertiup angin baru bagi menyusun arus perubahan: ke arah pentadbiran kerajaan yang lebih bersih.

Dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan sejak tahun 1990 ialah dasar yang disokong rakyat untuk mengubah kehidupan rakyat Kelantan daripada cara dan gaya lama yang sekular dan kebendaan kepada cara dan gaya Islam yang mengharapkan keredhaan Allah SWT.  Inilah hasrat Kelantan untuk mendirikan negeri yang disebut sebagai ‘baldatun taiyibatun wa rabbun ghafur’.

Hasrat ini menuntut sikap yang sebersih-bersihnya dalam iman dan amal para pemimpin sama ada dalam parti yang berkuasa mahupun dalam Kerajaan.  Tuntutan ini juga berlaku terhadap para pegawai tadbir dan seluruh rakyat di negeri ini.

Kesemuanya harus memahami dan mengikuti perubahan-perubahan bagi melaksanakan Islam yang syumul yang dilancarkan oleh Kerajaan Kelantan sekarang. Insya’ Allah perpaduan akan menjadi lebih erat dan lebih bererti dalam keredhaan Allah SWT.