Make your own free website on Tripod.com
MB tegur sambutan Maulidur Rasul hanya untuk makan dan tabur bunga

TERDAPAT sesetengah kalangan umat Islam di negara ini mengamalkan sambutan Maulidul Rasul dengan kelakuan yang pernah dibuat oleh Abu Jahal dan tidak mencerminkan kehendak Islam sebenarnya.

Menteri Besar, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sambutan yang diadakan oleh pihak berkenaan seolah-olah melupakan syariat Nabi Muhamad SAW. iaitu menjadikan Islam sebagai amalan kehidupan.

“Majlis sambutan Maulidul Rasul sekarang hanya dipenuhi dengan agenda makan dan tabur bunga rampai sahaja dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Menurutnya, sambutan sedemikian tidak memberi erti kepada usaha untuk mendaulatkan hukum Allah terutamanya perubahan zaman yang semakin mencabar sekarang.

Katanya, umat Islam akan hanyut dengan agenda seperti itu sedangkan tuntutan terhadap agama bukan sekadar untuk berseronok dan makan sahaja.

Keseriusan umat Islam mempraktikkan ajaran Allah perlu dilakukan secara menyeluruh terutamanya berkaitan dengan cara hidup seharian.

Menurutnya, umat Islam hari ini sudah dilalaikan dengan budaya seperti itu dan ia cuba diperbesarkan sehingga umat Islam lupa terhadap tanggungjawab sebenarnya.

Tanggungjawab kepada Allah telah dilupakan kononnya dengan budaya memperingati maulud sekadar mengisi dengan majlis makan dan minum serta syarahan agama ia telah memadai.
Keadaan seperti itu telah berlaku sejak zaman penjajah sehingga sekarang.

Ekoran daripada itu, orang Islam lupa tanggungjawab dan peranan mereka sebenarnya untuk menjujung perundangan Allah.

Menteri Besar berkata, Allah menjadikan putaran alam yang selalu berulang untuk dijadikan pengajaran kepada umat manusia.

“Batas  sempadan lepas yang tidak sesuai boleh dijadikan ingatan untuk melayari kehidupan ke arah yang lebih sempurna lagi,” tambahnya.
Bagaimanapun menurutnya, sekiranya Allah tidak menjadikan alam yang berputar ini sebagai panduan sudah tentu manusia semakin lupa kepada tanggungjawab mereka sendiri.

Katanya, ketika itu manusia tidak lagi mengingati sejarah yang dilalui untuk dijadikan pengalaman baru dalam kehidupan mereka.

Menteri Besar juga berkata, ibu bapa tentunya merasakan kagum dengan kejayaan anak-anak terutamanya sehingga menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

“Bagaimanapun kejayaan itu pada Islam masih tidak bermakna sekiranya amalan agama tidak menjadi panduan kepada anak berkenaan.

“Ahli korporat yang berjaya tetapi tidak mahu mengikuti ajaran Islam, tidak mempunyai makna dalam kehidupan umat Islam sebenarnya,” ujarnya.

Menurutnya, kejayaan anak-anak yang berjaya dalam hidup dan mempraktikkan ajaran Islam itulah sebenar-benarnya kejayaan.

Katanya, ketika itu, ibu bapa boleh merasa bangga kerana kejayaan tersebut akan memberi saham kepadanya di dunia dan akhirat.