Make your own free website on Tripod.com

MERDEKA!!! di Kelantan

LEBIH 3,600 peserta mengambil bahagian dalam perarakan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Kelantan pada 31 Ogos lalu. Perarakan 93 kontijen itu disertai oleh pelbagai jabatan, agensi, badan bukan kerajaan, pasukan beruniform dan syarikat swasta.

Acara padang bermula dengan menaikkan bendera dan menyanyikan ‘Negaraku’ oleh kumpulan koir Maktab Perguruan Kota Bharu, diikuti membaca ikrar dan melaungkan ‘Merdeka’ tiga kali.
Menteri Besar kemudiannya diiringi oleh Lt. Kolonel Yahya Ibrahim untuk menerima tabik hormat daripada kontijen-kontijen yang menyertai perarakan tersebut.

Perarakan bermula dengan pembawa bendera raksasa ‘Jalur Gemilang’ berukuran 20' x 20' oleh 40 pelajar Sekolah Menengah Tanjung Chat dan diiringi pembawa bendera raksasa Kelantan oleh pelajar Persatuan Bulan Sabit Merah Maahad Muhamadi Lelaki.

Kategori jabatan kerajaan negeri didahului oleh kontijen Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri seramai 27 orang, diikuti kontijen Pembendaharaan Negeri, Jabatan Pertanian dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Kategori jabatan persekutuan didahului Pejabat Pendaftaran Negara. Kotinjen Muzium Negeri mendahului bagi kumpulan badan berkanun. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mendahului kategori badan berkanun persekutuan.

Syarikat swasta yang turut mengambil bahagian ialah Malaysia Airport Bhd, Tenaga Nasional Berhad, Pos Malaysia Berhad, Canon Elektronik, Bernas Wilayah Timur, Telekom Malaysia Bhd, Perwira Ericson dan Bank Bumiputera.

Pasukan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Silat Terlak Empat, Taekwando, Bulan Sabit Merah, St John Ambulans, Pengakap, Silat Cekap Ustaz Hanafi dan Karate.

Kontijen berupa pasukan beruniform termasuk Pasukan Pertahanan Awam, Majlis Perbandaran Kota Bharu, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam dan Eksais, dan Jabatan Perhutanan Kelantan.

Sementara itu, pemenang keseluruhan bagi kontijen yang menyertai perarakan itu ialah PTJ gua Musang yang turut membolot dua hadiah lain iaitu kategori PTJ dan Pakaian Tercantik.

Bagi kategori pasukan beruniform dimenangi Pasukan St John Ambulans Sekolah Menengah Zainab. Jabatan Kerajaan negeri dimenangi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Jabatan Perikanan memenangi kategori jabatan persekutuan manakala kategori badan berkanun negeri dan penguasa tempatan dimenangi oleh PKINK.

Badan berkanun persekutuan dimenangi oleh KWSP, pasukan 506 Rejimen Askar Wataniah menang bagi kategori pasukan beruniform. Kontijen Silat Terlak 4 johan pertubuhan sukarela dan kumpulan syarikat swasta dimenangi TNB.


HOME