Make your own free website on Tripod.com

Pelajar YIK digesa jaga prestasi untuk kekalkan  pengiktirafan al-Azhar

PENGIKTIRAFAN yang diberikan oleh Universiti al-Azhar di Mesir kepada pelajar lulusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) hendaklah dijaga baik dan dikekalkan memandangkan universiti itu mengkaji semula pengiktirafannya setiap lima tahun sekali.

Demikian diberitahu oleh ADUN Banggol Judah, Ustaz Yahya Othman, ketika berucap di majlis meraikan pelajar-pelajar YIK yang akan menlanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan serta penyampaian sijil Maahad Dakwah wal-Imamah di JKR 10, Kota Bharu 17 Julai lalu.

Ustaz Yahya yang berucap mewakili Timbalan Menteri Besar Kelantan selaku Timbalan Pengerusi Pelaksana Maahad Dakwah wal-Imamah.

Menurut beliau, walaupun guru dan sukatan pelajaran baik, al-Azhar tetap membuat kajian semula.
Beliau memberitahu bahawa pelajar Malaysia pernah diperli kerana tidak mencapai tahap yang dikehendaki setelah mendaftar belajar di universiti-universiti di Timur Tengah.

Katanya, para pelajar hendaklah menjaga imej pimpinan kita yang telah berusaha mendapatkan pengiktirafan itu dengan tidak menggagalkan diri di dalam pengajian atau tertahan pengajian sehingga lima enam tahun di sana.

Beliau juga menasihatkan pelajar supaya tidak balik kampung ketika cuti; sebaliknya menggunakan kemudahan belajar yang amat banyak di Mesir.

“Lebih baik habiskan masa dengan membaca, meneliti dan mengkaji buku-buku atau mencari pengalaman dengan melawat negara-negara Timur Tengah daripada balik ke kampung selama cuti tiga bulan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah YIK, Ustaz Ismail Noh, yang berucap di majlis yang sama berkata YIK mengambil tanggungjawab yang diamanah oleh Kerajaan Kelantan untuk melahirkan ulama.

Katanya, al-Azhar sukacita dengan kehadiran pelajar Kelantan bukan sahaja sebagai pelajar tetapi menjadi wadah kepimpinan ulama di Kelantan.


HOME