Make your own free website on Tripod.com

YIK akan usaha tempatkan pelajar aliran sains di universiti Timur Tengah

Kerajaan Negeri Kelantan sedang berusaha untuk menghantar pelajar aliran sains dari sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) belajar ke pusat-pusat pengajian tinggi di Mesir dan negara-negara lain di Timur Tengah.

Pada masa ini keseluruhan pelajar YIK yang belajar di sana mengambil bidang agama sahaja.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, YB Ustaz Muhamad Daud, memandangkan YIK sedang memperluaskan pengajian aliran sains di sekolah-sekolah menengah agama (Arab) kelolaannya, usaha terpaksa dibuat untuk membolehkan pelajar-pelajar alisan sains ini mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi.

Katanya, pihak kerajaan negeri sedang membincangkan perkara ini dengan kedutaan Mesir di Kuala Lumpur.

Pada September ini, kerajaan negeri menghantar rombongan ke Mesir dan negara-negara Timur Tengah untuk membincangkannya dengan pihak-pihak universiti dan pusat pengajian tinggi di sana.
Beliau memberitahu demikian ketika berucap di majlis meraikan pelajar-pelajar lulusan YIK yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan serta penyampaian sijil Maahad Dakwah wal-Imamah di JKR 10, Kota Bharu 17 Ogos lalu.

Beliau seterusnya memberitahu Kerajaan Negeri berazam untuk menubuhkan sekolah agama-vokasional selain mempeluaskan lagi sekolah aliran agama-sains di bawah kelolaan YIK.
Dengan azam ini, katanya, peruntukan belanjawan yang diperlukan oleh YIK terpaksalah dibesarkan lagi.

Tahun ini Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan lebih RM29.4 juta kepada YIK tidak termasuk belanja membina bangunan.

Memandangkan keperluan yang bertambah ini, Kerajaan Negeri Kelantan mengurniakan kawasan balak kepada YIK.


HOME