Pusat Pengajian Pondok Kandis diiktiraf oleh al-Azhar

PUSAT Pengajian Pondok (PPP), Kandis, Bachok kini diiktiraf oleh Universiti al Azhar, Mesir bagi membolehkan pelajar lulusannya melanjut pelajaran ke universiti berkenaan.

Hasil pengiktirafan itu Pondok Kandis merupakan institusi pengajian cara pondok pertama di Asia Tenggara diiktirafkan oleh Universiti al Azhar .

Pelajar lulusan PPP Kandis boleh menyambung pelajaran di tahun ketiga universiti berkenaan mulai sesi tahun 1997/1998.

Sebelum ini Maahad Dakwah Wal Imamah turut diiktirafkan oleh universiti yang sama bagi membolehkan pelajar lulusan Maahad itu menyambung pelajaran di tahun ke tiga bidang Usuluddin di Universiti al Azhar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan negeri, YB Ustaz Mohamed Daud berkata, surat pengiktirafan itu dihantar awal Jun lalu yang ditandatangani oleh Naib Canselor Universiti al Azhar.

Menurutnya, pelajar lulusan PPP Kandis boleh menyambung pelajaran di tahun tiga dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab di universiti berkenaan.

YB Ustaz Mohamed berkata,  pengiktirafan itu mencatat sejarah baru bagi perkembangan pendidikan Islam di Kelantan bagi menghadapi cabaran selepas tahun 2000.

“Pada tahun ini lebih RM30 juta diperuntukan oleh kerajaan negeri bagi mengurus sekolah-sekolah agama di Yayasan Islam Kelantan,” tambahnya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah meluluskan kawasan pembalakan seluas 10,000 ekar kepada Yayasan Islam Kelantan (Yik) sebagai salah satu punca untuk menambah pendapatannya.


HOME