Make your own free website on Tripod.com

Usaha mengeluarkan marmar Kelantan semakin pesat

KERAJAAN Kelantan akan membuka lapan kawasan (blok) untuk cari gali bagi perusahaan kuari marmar.  Tiga blok diperuntukkan kepada syarikat usahasama dengan pihak Kerajaan Negeri dan lima lagi kepada umum.

Lapan kawasan itu ialah di Batu Melintang, Jeli; Sokor di Tanah Merah; Pulai dan Sungai Terah di sempadan Gua Musang-Jeli.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata dua syarikat gergasi dari Australia telah bersetuju untuk melabur di dalam industri galian di negeri ini tidak lama lagi.

Kedua-dua syarikat Australia itu dijangka akan menandatangani usahasama dengan syarikat kepunyaan Kerajaan Negeri pada September ini.

Beliau memberitahu demikian di dalam ucapan ketika menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman antara anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Kelstone Sdn Bhd., dengan sebuah syarikat milik penuh Bumiputera, Tegas Bistari Sdn. Bhd., bagi usaha sama mencari gali marmar pada 21 Ogos lalu.

Kelstone Sdn. Bhd. yang memegang ekuiti 30 peratus diwakili oleh Ketua Eksekutif PKINK, Wan Zulkefli Wan Yusof, menandatangani perjanjian persefahaman itu manakala Tegas Bistari Sdn. Bhd. dengan ekuiti 70 peratus diwakili oleh pengerusinya, Syed Mokhtar Syed Yassin.

Menurut persefahaman itu Tegas Bistari akan memperuntukkan modal RM 3 juta bagi fasa pertama usaha tersebut yang membolehkan  pengeluaran 60,000 ton marmar setahun dari kawasan seluas 59.2 hektar.

Syed Mokhtar berkata pihaknya akan menjalankan kerja mengeluarkan marmar di Sungai Terah yang di dalam lima fasa.

Marmar yang didapati di kawasan-kawasan yang sudah dikenal pasti itu adalah bermutu tinggi, lebih baik daripada marmar yang terdapat di Langkawi, Kinta (Perak) dan Pulai (Johor). 


HOME