Make your own free website on Tripod.com

Pendidikan di dalam Perjuangan Kemerdekaan Islam

KERAJAAN Kelantan kini mengambil tanggungjawab besar bagi mempastikan Islam terbela dan terpelihara di tengah-tengah penaklukan dan cabaran hebat fahaman sekular.  Pengukuhan Islam, terutama sekali melalui pendidikan, dilakukan oleh kepimpinan ulama di negeri ini dengan  bersungguh-sungguh kerana sekularisme itu telah mencipta kekeliruan dan penentangan daripada umat  Islam sendiri terhadap usaha membentuk kedaulatan atau kemerdekaan Islam.

Kemerdekaan mutlak umat Islam hanya akan dapat menjadi kenyataan apabila kuasa-kuasa melalui syariat Islam dan kehidupan budaya berteraskan Islam sebagai ad-din disempurnakan, dibela dan dipelihara tanpa disuku-sukukan antara agama dan politik serta tidak dicebis-cebiskan mengikut nafsu dan selera.

Kalaupun benar hujjah mengatakan penjajahan telah dihambat keluar dari negara ini, tidak pula mudah untuk menafikan bahawa penaklukan fikiran, serangan budaya bahkan penyelewengan aqidah terhadap umat Islam masih lagi berlangsung.

Adanya sifat penjajahan sebeginilah maka rancangan pendidikan bagi menyerlahkan kewibawaan ulama dan menghapuskan bibit-bibit cemar di dalam anutan umat Islam dijadikan landasan utama pada dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan sekarang.

Kepimpinan ulama di negeri ini terpaksa berusaha gigih mengendalikan dasar Membangun Bersama Islam dan sentiasa bersuara lantang bagi mempastikan terbentuknya hakikat kemerdekaan Islam ke atas seluruh umat Islam di negara ini, yang mana perjuangannya belum lagi selesai.

Dengan kuasa yang amat terhad dan tidak sebegitu bebas  -  kerana terpaksa bergerak di antara sifat perlembagaan sekular negara ini dan tentangan daripada pimpinan di kalangan orang Islam sendiri  -   kemungkinannya tidak banyak dapat dilakukan oleh kepimpinan ulama bagi mempastikan wujudnya kemerdekaan Islam yang diperjuangkan itu.

Bagaimanapun, kepimpinan ulama kerajaan negeri ini tetap berjiwa besar dan tidak putus harap untuk memperjuangkan tuntutan ini.  Landasan dan akar umbi bagi kekuatan dan kemerdekaan Islam itu amat bergantung kepada kewibawaan ulama sebagai pewaris Nabi.   Sejajar dengan ini pendidikan, ilmu, akhlak mulia dan taqwa di landasan Islam merupakan teras bagi ulama berwibawa itu.

Bagi menjadikan tuntutan ini sebagai kenyataan dan bagi menjamin perjuangan tetap berterusan tanpa keliru dan cemar, bidang pendidikan dan penyebaran ilmu dikenalpasti sebagai saluran utama untuk perjuangan kemerdekaan Islam itu, mengatasi saluran ekonomi dan lain-lainnya.

Usaha ini jelas kelihatan di dalam pelaksanaan pendidikan Islam di negeri ini.  Antara yang dapat dilihat jelas sekarang ialah perancangan dan pelaksanaan pendidikan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk membentuk dan melahirkan golongan pelapis kepimpinan ulama itu, yang kelak dapat melanjutkan kepimpinan sekarang bagi mengisi kemerdekaan Islam di tengah-tengah ummah.

Melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK), dengan belanjawan kerajaan negeri untuknya meningkat hampir RM 30 juta setahun untuk mengendalikan lebih seratus buah institusi berbagai jenis, ruang pengajian sentiasa dicipta  oleh YIK bagi membentuk golongan pelapis itu.

Pengisian pendidikan oleh YIK bagi menyatukan landasan duniawi dan ukhrawi diyakini akan menyerlahkan kewibawaan serta menegakkan kepimpinan ulama di dalam memperjuangkan kemerdekaan dan kedaulatan Islam.

Kejayaan YIK dan para pelajarnya kini menjadi sebutan ramai. Betapapun, keunggulan dan kecemerlangan para pelajar YIK tercapai kerana adanya dasar dan pelaksanaan pendidikan bagi menyahut tuntutan perjuangan kemerdekaan Islam itu di bawah kepimpinan ulama.


HOME