Make your own free website on Tripod.com

Mangsa hakisan dapat kawasan penempatan baru

SERAMAI 29 orang mangsa hakisan pantai di Pantai Sabak akan diberi penempatan baru di Kampung Kemeruk iaitu kawasan pemindahan kedua yang disediakan oleh Kerajaan Kelantan di bawah rancangan penempatan semula ini.

Penempatan pertama telah diwujudkan di Pulau Gajah pada tahun 1993, melibatkan 113 keluarga yang terdedah kepada hakisan pantai dipindahkan ke penempatan itu.

YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar melawat sendiri kawasan penempatan baru itu pada 28 Ogos lalu untuk meninjau dari dekat masalah rakyat.

Sebanyak RM236,310 telah dibelanjakan bagi mewujudkan penempatan tersebut dan mengambil balik tanah seluas 1.2 hektar di kampung berkenaan.

YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pembayaran bagi mengambil balik tanah itu telah diselesaikan pada Januari lalu.

“Kawasan penempatan baru ini akan diwujudkan sebanyak 29 lot kediaman yang dilengkapkan dengan kemudahan taman rekreasi dan sebuah dewan,” katanya.

Pegawai Jabatan Pembangunan Negeri menyampaikan penerangan ringkas mengenai projek penempatan baru tersebut.

Penempatan semula mangsa-mangsa hakisan pantai itu dijangka dapat diselesaikan akhir tahun ini dan satu jawatankuasa pemilihan peserta akan diwujudkan bagi memilih penduduk yang layak mendapat lot tersebut.


HOME