Make your own free website on Tripod.com

CATATAN KELANTAN

PKINK ANJUR KURSUS USAHAWAN

PERBADANAN Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) akan mengadakan Kursus Lanjutan Amalan Perkilangan Baik pada 3-4 September ini di Hotel Ansar.  Kursus yang dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Usahawan PKINK dibuka kepada usahawan-usahawan yang berminat.  Menurut Pengurusnya, Wan Abdul Azim Wan Abdullah sebanyak 10 kursus disampaikan sepanjang program itu yang berlangsung dua hari bermula jam 8.30 pagi hingga jam 4.30 petang.  Antara kursus yang dibentang ialah Amalan Perkilangan Baik (APB), dokumentari, APB-Premis. Setiap peserta kursus dikenakan bayaran RM30.

TANAH TERBIAR DIUSAHAKAN KEMBALI

TANAH terbiar seluas 10 ekar di Kampung Bendang Mukim Panchor, Pengkalan Chepa akan diusahakan oleh penduduk kampung untuk tanaman sayur-sayuran. Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Panchor, YB Haji Yusof Ludin, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, YB Mohd. Amar Abdullah dan pemilik tanah berkenaan mengeluarkan peruntukan membina pagar di tanah tersebut. Pagar dibina secara gotong royong oleh 15 orang penduduk.  Mereka mengerjakannya setiap Jumaat.  Menurut Haji Yusof selaku penasihat projek, pemilik tanah berkenaan bersetuju memajukan tanahnya sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk memulihkan tanah terbiar.

MB ZIARAH KANAK-KANAK SAKIT

YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar Kelantan meluangkan masa melawat seorang kanak-kanak berumur 17 bulan, Anis Aula Razani, yang menderita masalah pernafasan sejak lahir, pada 17 Ogos lalu.  Anis yang kini berada di Hospital Universiti Sains Pulau Pinang kini memerlukan 12 kiub padu oksijen untuk membantu pernafasan.  Sebuah mesin berharga RM10,000 diperlukan bagi membantu pernafasannya.  Bapanya, Razani Ismail, 35, berharap mendapat sumbangan orang ramai untuk membeli mesin pemampatan oksijen berkenaan.

CARA BARU BERI HADIAH PELAJAR CEMERLANG

ADUN Wakaf Bharu, YB Haji Ramli Abu Bakar mempunyai cara tersendiri meraikan pelajar-pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Agama (A) Pasir Pekan.

Beliau mahukan keraian itu dinikmati oleh semua orang, tidak sekadar dua puluh pelajar cemerlangnya. Atas kaedah ini, beliau menghadiahkan jamuan nasi yang dinikmati oleh pelajar-pelajar, guru-guru sekolah tersebut dan lebih 1,000 orang ibu bapa pelajar.

Satu majlis jamuan nasi diadakan di sekolah tersebut sempena mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa Guru sekolah yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan, Dakwah dan Penerangan, YB Haji Mohamed bin Daud pertengahan Ogos lalu.


PROSES BAHAN MENTAH SEBELUM DIEKSPOT

MEMPROSES bahan mentah terlebih dahulu untuk dijadikan bahan ekspot adalah satu cara yang baik untuk mengatasi masalah kegawatan ekonomi sekarang.

Jika dahulu bahan mentah itu terus diekspot, menyebabkan kita tidak mendapat pulangan sepenuhnya daripada hasil kita.

Sehubungan dengan ini, Kerajaan Kelantan akan berusaha menjadikan bahan mentah daripada negeri ini sebagai bahan siap sebelum diekspot.

Menurut Pengerusi Jawatan-kuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia, YB Ahmad Yaacob, bahan mentah seperti kayu akan diproses terlebih dahulu sebelum di ekspot ke luar negara. Bahan-bahan lain seperti batu marmar yang banyak terdapat di Kelantan akan dilakukan sedemikian juga. Beliau berkata demikian ketika merasmikan penu-buhan PIBG Sekolah Menengah Agama Al-Ulum, Padang Embun, Pasir Mas, Ogos lalu.

Kerajaan Kelantan dijangka mendapat pulangan yang lebih baik  dengan cara ini. Pelabur dialu-alukan untuk melaksanakannya.