Make your own free website on Tripod.com

Pelajar digalakkan buat ‘roadshow’ untuk derma pembangunan sekolah

YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan menganjurkan dua cara baru bagi sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan mendapatkan wang untuk membangunkan sekolah.

Langkah pertama, kata beliau, ialah mengadakan 'roadshow' memungut derma.
Katanya, 'roadshow' yang dimaksudkan adalah seperti mengadakan pertunjukan dikir barat oleh pelajar-pelajar lelaki ke seluruh pelosok negeri.

Beliau menjelaskan bahawa dikir barat yang sesuai dengan kehendak Islam akan dapat memberikan mesej Islam kepada orang ramai.  Jika kegiatan ini dilakukan oleh para pelajar wang boleh dipungut bagi mengisi tabung  membangunkan sekolah.

Tambah beliau, pelajar perempuan pula bolehlah menganjurkan majlis seperti forum di kampung-kampung, di masjid-masjid atau di balaisah sambil memungut derma.

Kedua, YAB Tuan Guru menganjurkan supaya semangat  berderma dan mewakafkan harta hendaklah dibiak, diperkuat dan diperbetulkan cara serta tujuannya.

Menurut beliau semangat berderma memang sudah lama wujud di dalam masyarakat tetapi selama ini kebanyakan-nya hanya disalurkan kepada mengadakan majlis-majlis ken-duri dan tidak banyak kepada berderma untuk menguatkan institusi-institusi Islam terutama sekali dalam bidang pendidikan.
Berucap di majlis pelancaran pungutan derma untuk mem-bina bangunan dewan serba-guna dan perpustakaan Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu pada 30 Ogos lalu, YAB Tuan Guru menggesa supaya dibuat kempen untuk galakkan orang mewakafkan harta kepada sekolah-sekolah, masjid-masjid dan lain-lain keperluan bagi membangunkan masyarakat Islam.

Katanya, tidak betul cara pimpin rakyat dengan menyu-ruh mereka buat rumah besar, bazir wang dan seumpamanya sedangkan amalan mewakafkan harta sebagai bekalan akhirat ditinggalkan..