Make your own free website on Tripod.com
TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU MENTERI BESAR KELANTAN
DI MAJLIS SAMBUTAN ULANGTAHUN KELAPAN
TABUNG SERAMBI MEKAH
PADA : 08/03/98
DI BALAI ISLAM LUNDANG

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Yang  Bermaksud : Perumpamaan bagi orang-orang yang telah  membelanjakan  hartabenda mereka di jalan Allah adalah serupa  seperti sebutir  benih  menumbuhkan  tujuh dahan.  Pada  tiap-tiap  dahan tersebut  pula  mengeluarkan seratus  biji  buahnya, demikianlah Allah menggandakan balasan bagi mereka-mereka yang di  kehendaki.  Sesungguhnya Allah Maha luas (kurniaanNya) dan Maha mengetahui.  (Surah Al-Baqarah ayat :256)
 
YB. Timbalan Menteri Besar merangkap Pengerusi Tabung Serambi Mekah

YBM Dato' Pegawai kewangan Negeri

YB Ahli-ahli Exco

YB Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen

YBrs. Pegawai Pembangunan Negeri

Ketua-ketua Jabatan

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,
 
Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Ilahi kerana pada pagi ini sekali  lagi  kita dapat bersama-sama menyambut  hari  ulangtahun yang  ke.8  Tabung Serambi Mekah, dalam usia  yang  sebanyak  ini sudah tentulah tabung ini sudah banyak menerima dan memberi  sumbangan kepada setiap golongan rakyat yang perlu dan layak menerima bantuan. Kejayaan pihak pengurusan tabung ini menguruskan  dan mengagihkan  peruntukan-peruntukan  dengan baik  dan  adil  telah menarik  minat dan keyakinan para penyumbang dan  penderma  untuk terus menyumbangkan derma mereka kepada tabung ini.
 
Para hadirin sekelian,

Antara  tugas dan tanggungjawab utama bagi sebuah  kerajaan  yang memerintah ialah menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Di dalam  kebanyakan Negeri atau Negara rakyat terbahagi kepada  dua  golongan  yang  besar iaitu kumpulan berada atau  kaya  raya  dan  kumpulan yang tidak bernasib baik, kedua-dua ini perlu  pembelaan  dan penjagaan daripada kerajaan yang memerintah, cuma  barangkali terdapat  dari segi bentuk dan corak pembelaan itu berlaku.  Bagi  golongan  yang miskin atau yang kurang bernasib  baik,  pembelaan  yang perlu kepada mereka ialah memberi bantuan wang ringgit  atau  matabenda kepada mereka bagi membolehkan mereka dapat menyediakan  keperluan  asas  dalam kehidupan sekadar yang  minima.  Sementara  bentuk  pembelaan  kepada golongan yang berada  atau  kaya  ialah  melalui  perlindungan keselamatan terhadap hartabenda mereka  dan  juga  kaum keluarga. Dalam hal ini maka timbullah keperluan  yang  mesti di buat oleh kerajaan seperti mewujudkan undang-undang, dan  peraturan  sebagai  satu pembelaan terhadap rakyat  tidak  begitu  menonjol  untuk  di  bicarakan. Apa yang lebih  menonjol  dan  di  sifatkan  sebagai  bantuan atau pembelaan  dari  kerajaan  kepada  rakyat jelata ialah apabila kerajaan mampu memberi bantuan  kebendaan  kepada  mereka.  Dalam keadaan dan  suasana  yang  sebegini  kerajaan mengambil langkah  untuk menubuhkan tabung serambi mekah  bagi  membolehkan,  bukan sahaja  kerajaan  dan  agensi-agensinya  terlibat dalam memberi bantuan dan pembelaan kepada rakyat  jelata,  tetapi pihak swasta dan orang-orang perseorangan yang  telah  mendapat  rezki  yang banyak daripada Allah  SWT.  terlibat  sama  dalam program pembelaan rakyat yang miskin.
 
Para hadirin sekelian,

Memang  telah  menjadi sebahagian daripada ajaran  Islam,  bahawa  golongan  yang berada mesti menolong golongan yang tidak  berada.  Sebab  itulah Islam telah menjadikan zakat sebagai satu  daripada  rukun  Islam, apabila Allah sendiri telah mewajibkan  orang  yang  berada memberi sebahagian daripada hartabenda mereka kepada orang  miskin  di atas nama zakat atau sedekah, ini menunjukan  kegiatan  atau ibadat seumpama ini sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat.  Kepentingan  ini  tidak boleh di lihat  dari  satu  pihak  sahaja.  Dalam  hal  berzakat ini  kebanyakan orang beranggapan  bahawa  pihak yang untung ialah penerima sahaja.  Sementara  yang  memberi  tidak untung. Pandangan seperti ini adalah  tidak  tepat  dan  tidak benar. Kerana ibadat zakat adalah ibadat yang  memberi  keuntungan  lebih kepada pemberi daripada penerima. Sebab  itulah  Ulama'-ulama'  Fekah memberikan makna zakat itu  sendiri  sebagai  "bersih itu subur".

Pemberian zakat daripada golongan orang kaya kepada golongan miskin sebenarnya adalah satu usaha untuk menyuburkan lagi harta  orang-orang  kaya  supaya ia bertambah kaya.  Perbuatan  memberi  tidak  boleh  di fahami dengan makna  pengurangan sebaliknya  ia membawa kepada penambahan dan penyuburan. Dalam kegiatan  ekonomi  harian  kita sering bertemu dengan aktiviti-aktiviti  pengurangan dan  bertujuan untuk penambahan, sebagai contoh  seorang  penanam tembikai  atau timun cina, kalau ia mahu tembikai mereka  memberi pulangan  yang banyak mereka mestilah membuang kesemua  buah-buah yang keluar dari saluran pokok tersebut kecualilah yang satu biji terakhir.  Kerana mengikut kajian kalau semua buah-buah  tersebut di simpan, maka ia menjadi kecil-kecil belaka dan tidak ada nilai untuk  pasaran,  buah-buah tersebut menjadi  kecil  kerana  pokok terpaksa  membahagi baja kepada setiap buah tersebut.  Sebaliknya kalau hanya satu biji sahaja buah yang di simpan maka semua  baja yang  telah dihisap dan di kumpul oleh akar pokok  tersebut  akan tertumpu  kepada satu biji sahaja maka buah tersebut  akan  besar saiznya dan mempunyai nilai harga yang baik di pasaran.
 
Begitulah juga perbandingan orang yang mengeluarkan zakat  dengan yang  tidak  mengeluarkan  zakat  walaupun  zahirnya  menampakkan pengurangan harta tetapi sebenarnya adalah proses penyuburan yang membolehkan harta terus berkembang dan terus bertambah.  Manakala dari sudut keakhiratan pula, terlalu banyak ayat-ayat dan  Hadis-hadis  yang  memuatkan  janji-janji dan kelebihan  yang  akan  di perolehi oleh orang yang suka bersedekah, berderma dan mengeluarkan zakat hartabenda mereka.
 
Ayat  yang  saya bacakan pada muqadimah tadi secara  jelas  Allah menceritakan bahawa setiap satu benda yang kita derma dan  belanjakan secara ikhlas untuk kepentingan Islam dan golongan-golongan yang  disuruh  oleh Allah. Maka Allah akan  membalasnya  sebanyak tujuh ratus kali ganda. Kalau kita bercakap dalam bahasa  pelaburan  dan  perniagaan, pelaburan dalam bidang  itu  mampu  membawa balik  pulangan  hasil sebanyak tujuh ratus peratus.  Ini  adalah janji Allah dan  Allah tidak pernah memungkiri janji-janjinya.
 
Para hadirin sekelian,

Dalam kegawatan ekonomi yang sedang melanda kita sekarang, terdapat  banyak pihak mula merasai kepentingan  adanya  tabung-tabung baru  samada yang bersifat kebajikan atau di sebut  juga  sebagai "Non  Profit  Organisation" ataupun tabung  yang  berorientasikan perniagaan.   Cuma  apa yang kita harapkan  agar  tabung  serambi mekah  dapat  di perkembangkan dan di  perkukuhkan  dananya  dari jumlah yang sedia ada supaya menjadi lebih banyak dan kukuh  lagi kedudukan  kewangannya. Mengikut laporan terbaru baki  wang  yang ada  di  dalam tabung serambi mekah sehingga  01/01/98  berjumlah sebanyak  tiga  juta lima ratus tiga puluh dua ribu  tujuh  ratus lapan  puluh ringgit sembilan puluh empat sen(RM3,532,780,94)  di perbanyakan lagi supaya kita dapat membantu membina kesejahteraan rakyat  dengan  jumlah yang lebih besar lagi.  Orang  yang  mampu memperkukuhkan tabung ini tidak lain daripada tuan-tuan dan puan-puan  sekelian, atas rasa kerjasama dan  tanggungjawab  tuan-tuan sekelianlah  maka  tabung ini akan menjadi bertambah  kukuh  dari masa kesemasa.

Dalam  suasana ekonomi yang muram ini, kita juga berhasrat  untuk membantu  pihak menyelematkan pasaran saham dan  nilai  matawang. Kerana kita dapat merasakan bahawa ini adalah tanggungjawab  kita bersama  untuk  menyelamatkannya.  Oleh hal  yang  demikian  bagi membolehkan kita terlibat secara khusus dan berkesan dalam  usaha ini.  Kita merayu kepada pihak yang berkenaan supaya dapat  meluluskan  permohonan  kita untuk menubuhkan Amanah  Saham  Kelantan (AKSI)  yang telah kita tubuhkan sejak tahun 1994.  Setelah  kita luluskan  dalam  majlis  mesyuarat  jawatankuasa  penubuhan  yang terdiri  dari kalangan tokoh-tokoh koporat dan profesional  untuk menerajuinya.  sehingga sekarang kita sudah ambil  seramai  empat orang  kakitangan  sepenuh masa untuk tujuan tersebut.  Dan  kita telah  memajukan  permohonan kepada  pihak-pihak  yang  berkaitan seperti  Unit  Perancang Ekonomi dan  Suruhanjaya  Sekutiri  pada 11/10/95 tetapi malangnya permohonan kita telah dibekukan  hingga kini.
 
Kita  sangat berkeyakinan sekiranya permohonan  untuk  menubuhkan AKSI  ini  di luluskan, kerajaan dan rakyat  Kelantan  seluruhnya akan dapat terlibat secara langsung dan dan aktif untuk  membantu membolehkan ekonomi negara yang sedang lembab sekarang ini. Sama-samalah  kita  berdoa semuga permohonan kita di  luluskan  dengan qadar yang segera.
 
Akhir  kata saya bagi pihak kerajaan dan rakyat  Negeri  Kelantan sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada para  pendokong tabung  serambi  mekah, para-para penderma  dan  kakitangan  yang telah  berjaya meletakan tabung ini di tempat yang  baik  seperti sekarang ini. Semuga  semua dan sumbangan dan sokongan tuan-tuan tersebut  akan di  beri balasan yang baik dan adil oleh Allah SWT.  Dan  marilah kita berazam untuk menambah dan menyemarakan lagi keinginan  kita untuk  berderma dan membantu mereka-mereka yang  kurang  bernasib baik dari segi kebendaan.
 
sekian wassallam.