Make your own free website on Tripod.com
TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU MENTERI BESAR KELANTAN
DI MAJLIS SAMBUTAN HARI PENGGUNA SEDUNIA 1998
DAN PERASMIAN EKSPO BARANGAN BUATAN MALAYSIA
PERINGKAT NEGERI KELANTAN
PADA 14/06/98
DI DEWAN MAJLIS PERBANDARAN KOTA BHARU
 
 BISMILLAHIRAHMANIRAHIM.

Yang  bermaksud:  Allah telah membuat  satu  perbandingan  bahawa sebuah negeri yang dahulunya sangat aman lagi tenteram,  rezkinya melimpah  ruah di setiap penjuru dan tempat. Tetapi  oleh  kerana penduduknya mengingkari segala nikmat-nikmat tersebut maka  Allah merasakan  kepada mereka dengan kelaparan dan  ketakutan  sebagai balasan terhadap perbuatan mereka.
(Surah Al. Nahli : 112)

YB. Dato' Seri Megat Junid Megat Ayub
Menteri  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

Ybr.  Dato' Azman Abdul Rashid
Pengurusi Majlis Hal  Ehwal  Pengguna Negeri Kelantan

Ahli-ahli Yang Berhormat

Dato'- Dato' dan Datin-Datin

Dhif-dhif kehormat

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian
 
Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah kerana pada pagi ini dapat bersama-sama melancarkan hari pengguna sedunia dan merasmikan ekspo barangan buatan Malaysia. Di harapkan semuga majlis ini akan membawa satu kesedaran baru di kalangan para pengguna terhadap  segala tanggungjawab dan hak mereka dalam  bidang  kepenggunaan, kefahaman  dan kesedaran para pengguna  terhadap  hak  dan tanggungjawab  mereka sangatlah penting bagi diri mereka  sendiri dan juga Negara.
 
Para hadirin sekelian,

Dalam  suasana kegawatan ekonomi yang sedang melanda  kita  sekarang, kesedaran  dan kefahaman di kalangan para  pengguna  dapat membantu usaha kerajaan untuk menyelamat dan membolehkan  kedudukan  ekonomi Negara. Kesedaran dan kefahaman para pengguna  dapat  mengurangkan  kadar jumlah import barang-barang dari luar Negara yang  sekaligus  menjadikan imbangan  pembayaran  dan  pengaliran  keluar  wang  akan menjadi setabil. Buat masa ini  kesedaran  dan kefahaman di kalangan pengguna di Negara kita terhadap  tanggungjawab mereka masih lagi berada di tahap yang  kurang  memuaskan.

Kebanyakan para pengguna membuat keputusan untuk membeli  sesuatu barang  masih  lagi berasaskan promosi dan  iklan-iklan  daripada syarikat-syarikat pengeluar barangan. Pemikiran mereka masih lagi terikat  dan kagum dengan jenama-jenama tertentu yang sengaja  di promosikan oleh syarikat-syarikat berkenaan, tanpa dapat  menilai sendiri qualiti atau mutu sesuatu barangan tersebut. Kebiasaannya sesuatu barangan itu menjadi laris apabila jenama barangan tersebut datangnya dari Negara-negara Barat. Walhal barangan  tersebut sebenarnya  di buat di kilang-kilang  berhampiran dengan  kampung halaman  mereka  sendiri. Budaya yang suka  mengangong-agong  dan memuja barangan import yang berjenama barat itu telah menyebabkan para  pengguna  terpaksa membayar lebih semata-mata  kerana  nama barangan  bukan kerana mutu dan qualitinya. Hal yang seperti  ini sangat    merugikan   semua   pihak   samada   pengguna    maupun kerajaan.Sikap  suka membeli dan menggunakan  barangan  berjenama  itu akan terdedah kepada perlakuan pembaziran ketika  berbelanja.

Ini sudah tentu akan menjadikan kegawatan ekonomi menjadi bertambah  parah, budaya itu bukan sahaja menular di kalangan  pengguna peringkat bawah atau pertengahan. Sebaliknya lebih banyak berlaku  di  kalangan golongan atasan seperti golongan koporat dan  orang-orang kenamaan.

Para hadirin sekelian,

Islam melalui ajarannya telah mengajar manusia supaya bersederhana dalam soal perbelanjaan. Islam meajibkan perbelanjaan di dalam perkara yang dharuriyat dan hajiyat sahaja dan tidak  menggalakan dalam  perkara  bersifat  mewah. Kerana  kemewahan  akan  membawa  kepada  pembaziran, dan membazir adalah sebahagian  dari  saudara syaitan.
 
Bagi mempastikan tidak berlaku pembaziran di dalam  perbelanjaan, maka  budaya menggunakan barangan import hendaklah  di  kurangkan  atau di hapuskan. Sebaliknya masyarakat pengguna hendaklah  menggunakan barangan keluaran tempatan yang jauh lebih murah berbanding  barangan  import. Persoalannya kenapa  para  pengguna  tidak berminat  untuk menggunakan barangan tempatan? selain dari  sebab  sikap pengguna yang suka bermuka-muka tersebut, terdapat beberapa sebab lain yang perlu di beri perhatian oleh semua pihak. Antaranya ialah qualiti barang yang tidak mencapai tahap yang memuaskan dan tidak mendapat promosi yang meluas di dalam pasaran.
 
Para  pengeluar barangan tempatan sehingga kini masih lagi  tidak berupaya untuk menandingi pengeluar Negara asing dalam  mempertahankan  qualiti barangan dan mempromosikan di kalangan  pengguna.

Bagi  mempromosikan barangan mereka, pengeluar tempatan  terpaksa bersaing membuat iklan melalui media cetak dan elektronik  secara bebas  dan terbuka. Egensi pengiklanan pula akan memberi  khidmat dan  keutamaan berdasarkan jumlah bayaran yang sanggup  di  bayar oleh  pengilang  kepada mereka. Kalau banyak wang di  bayar  maka keraplah promosi di buat. Hal yang seperti ini menyebabkan syarikat-syarikat atau pengilang baru yang masih lemah dalam keupayaan  modal tidak dapat menyaingi syarikat besar yang sudah kukuh  dari segi kewangan mereka. Bagi mengelakan pengusaha baru gagal  dalam promosi ini, di cadangkan supaya media kerajaan memainkan peranan yang  agrasif  untuk membantu  pengeluar  tempatan mempromosikan  barangan mereka.

Langkah Kementeian Hal Ehwal Pengguna mengadakan ekspo  barangan  tempatan  seperti hari ini adalah satu langkah yang  sangat  baik dan amat besar faedahnya kepada pengeluar barangan tempatan.  Dan ia sekaligs akan memberi menafaat kepada golongan penggunaan  dan Negara.
 
Para hadirin sekelian,

Dalam  suasana  kegawatan ekonomi, para  pengguna  amat  tertekan dengan  kenaikan  harga  barang-barang,  terutama  bagi  barangan keperluan asas seperti minyak, beras, gula dan tepung. Sehari dua ini  masyarakat pengguna gempar dengan kenaikan harga beras  yang begitu  tinggi terutama bagi beras gred super AAA  yang  berharga  RM29.00  bagi  satu kampit yang beratnya 10kg.  Secara  puratanya harga  beras bermula dari 1hb. Mei yang lalu telah naik  sebanyak 21.% daripada harga asal. Keadaan ini telah menyebabkan  masyarakat pengguna merasa amat tertekan. Sudahlah ekonomi gawat  pendapatan kurang, harga barangan pula yang semakin naik.

Semua pihak terutama peniaga hendaklah memiliki akhlak etika yang  tinggi  dalam  perniagaan mereka, kerana  tindakan  mereka  untuk  menaikan  harga barang sesuka hati mereka menyebabkan  berlakunya  penganiayaan dan kezaliman terhadap para pengguna. Kejayaan  atau  keuntungan yang di bina di atas dasar menzalimi orang lain  tidak akan  membawa  keberkatan di dalam hidup kita. Islam  sejak  dari  awal  lagi  telah menggariskan dasar bahawa  para  peniaga  tidak  boleh  mengambil  untung  yang berlipat  ganda  dalam  perniagaan  mereka.

Di Negeri Kelantan kita selalu memperingatkan para peniaga supaya  mengekalkan identiti kita sebagai Negeri yang paling murah  harga  barangan  supaya  Negeri ini boleh menjadi syurga  membeli  belah  kepada semua pengunjung samada dari dalam maupun luar Negeri.
 
Marilah  sama-sama  kita berusaha untuk  memperbaiki  nasib  para  pengguna  melalui pelbagai cara dan kemampuan yang ada pada  kita  semua.
 
Akhir  kata saya ingin mengucap syabas dan tahniah  kepada  semua  yang  terlibat  dalam menganjurkan majlis ini, dan  terima  kasih  kerana  sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis  ini. Dengan  lafaz  Bismillahirahmanirahim saya dengan sukacitanya  merasmikan  sambutan hari pengguna sedunia 1998 peringkat Negeri Kelantan dan ekspo barangan Malaysia pada hari ini.
 
Sekian wassalam.