Make your own free website on Tripod.com
TEKS UCAPAN YAB. TUAN GURU DATO' MENTERI BESAR
DI MAJLIS PELANCARAN TAHUN MELAWAT KELANTAN 1998
DI RUANG LEGAR BUKIT BINTANG PLAZA
JALAN IMBI KUALA LUMPUR
PADA 21/09/97

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM

Maksudnya: Dan Kami jadikan antara mereka dan Negeri-negeri yang kami limpahkan berkat kepadanya, beberapa  Negeri berdekatan dan Kami tetapkan antara Negeri-negeri itu (jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di Kota-kota itu pada malam dan siangnya dengan aman dan selamat.
(Surah Saba' ayat :18)

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana petang ini, kita dapat berhimpun dalam majlis yang berbahagia ini, terima kasih di ucapkan kepada pihak Urusetia Pelancongan Negeri Kelantan yang telah berjaya mengadakan majlis ini. Bagi pihak rakyat dan kerajaan Negeri suka saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang yang terlibat terutama pihak pengurus Bukit BIntang Plaza yang memberikan ruang legar ini untuk kami dari Kelantan mengadakan ekspo dan majlis ini.

Para hadirin sekelian,

Industri Pelancongan merupakan satu industri yang sedang berkembang pesat di Negara ini. Jumlah kemasukan para pelancong asing ke Negara ini mencapai kepada 7.5 juta orang pada tahun 1995 dengan jumlah pendapatan sebanyak RM9.2 juta bilion. Bagi Negeri Kelantan sendiri pada tahun 1996, jumlah kedatangan para pelancong samada tempatan dan antara bangsa seramai 2.1 juta orang dengan jumlah perbelanjaan mereka sebanyak RM544 juta, sehingga bulan Jun tahun 1997. Pelancong yang datang ke Kelantan sudah berjumlah1.21 juta orang. iaitu satu juta dua puluh lima ribu adalah pelancong tempatan dan seratus sembilan puluh ribu adalah pelancong asing. Dengan petunjuk ini Negeri Kelantan di jangka menerima kunjungan para pelancong sebanyak 2.4 juta orang bagi tahun 1977 ini. Dan jumlah ini sudah tentu akan meningkat pada tahun 1998 ini dengan adanya promosi besar-besaran untuk menarik pelancong ke Negeri Kelantan melalui pelbagai program yang kita lancarkan bermula hari ini. Keyakinan ini bertambah lagi dengan adanya sukan Komenvel yang akan berlansung di Kuala Lumpur pada tahun 1998 ini.

Para hadirin sekelian,

Selain dari faktor ekonomi, terdapat beberapa tujuan kita  menarik para pelancong supaya datang melancong ke Negeri kita, antaraya ialah kita ingin memperkenalkan Negeri dari beberapa sudut dan bidang kehidupan masyarakat. Supaya ianya dapat difahami dan diketahui oleh seluruh dunia bahawa kita adalah satu bangsa yang memilki beberapa keistimewaan tersendiri berbanding dengan bangsa lain dan masyarakat didunia ini. Kita ingin memperkenal identiti kita sebagai orang melayu yang berugama Islam. Kita juga ingin memperkenalkan hasil-hasil seni ciptaan kita yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dari sudut kreativiti dan keindahannya. Kita juga ingin memperkenal budaya hidup yang harmoni dan aman dalam satu rumpun Negeri walaupun mempunyai beberapa etnik. Itulah beberapa perkara atau produk yang hendak kita kemuka dan pamerkan dari Negeri kita untuk tatapan para pelancong tempatan atau asing. Oleh kerana itu tidak ada sebab bagi kita untuk terus mengekalkan tradisi sejak zaman penjajah yang mempromosikan bidang pelancongan di Negara ini dengan menggunakan beberapa perkara yang boleh memberi kesan yang negatif terhadap emej kita sebagai seorang yang berugama Islam. Seperti budaya penggunaan minuman keras, pelacuran, hiburan-hiburan yang berasal dari Barat, judi dan seumpamanya. Kerana semua perkara ini memang sudah banyak terdapat di Negara Barat yang menjadi Negara asal kepada sebahagian pelancong yang datang ke sini.

Sebenarnya idea untuk menghidangkan kepada para pelancong luar dengan aktiviti-aktiviti seperti itu adalah hasil daripada pandangan yang salah terhadap tujuan kedatangan para pelancong ke Negara atau Negeri kita. Persepsi atau pandangan yang salah ini melahirkan tindakan yang salah juga. Kita semua sepatutnya sedar bahawa para pelancong yang keluar melancong jauh dari rumahtangga dan keluarga mereka, bukanlah bertujuan untuk mencari sesuatu yang sudah banyak terdapat di sekitar kampung halaman mereka. Tetapi apa yang dikehendaki oleh mereka sebenarnya ialah untuk mencari sesuatu yang belum terdapat ditempat mereka. Sangat tidak bijak malah tidak rasional bagi orang-orang Eropah datang kesini untuk mencari kelab-kelab malam, disko, arak, perempuan, judi dan sebagai seumpamanya. Kerana perkara seperti ini sememangnya sudah banyak terdapat di Negara mereka. Malah lebih mudah berbanding dengan Negara kita. Jadi apa gunanya mereka membuang wang dan masa kalau itulah perkara yang boleh mereka dapati dari Negara yang mereka lawati.

Pihak-pihak yang terlibat dengan industri pelancongan samada kerajaan maupun swasta sangat perlu memahami keperluan sebenar para pelancong datang melancong ke Negara kita, Negara kita Malaysia, lebih-lebih lagi Negeri Kelantan sangat terkenal sebagai sebuah Negara atau Negeri yang bukan sahaja penduduknya ramai yang berugama Islam. Tetapi juga kuat mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sehinggakan Negeri Kelantan sendiri telah mendapat gelaran Serambi Mekah. Jadi apabila mereka sanggup mengahabiskan wang dan masa datang kesini, sudah tentulah mereka mahu melihat dengan mata mereka sendiri bagaimanakah sebuah Negeri Islam yang bergelar serambi Mekah tersebut. Itulah tujuan mereka dan itulah perkara yang perlu di penuhi oleh kita sekelian.

Ini bermakna bukan sahaja hasil kraftangan, persembahan kebudayaan dan permainan tradisional sahaja yang boleh menjadi produk untuk menggamit pata pelancong datang kesini, tetapi ugama Islam juga boleh menjadi salah satu daripada produknya kerana ajaran Islam yang murni dan suci serta sangat tinggi nilainya ini, kalau diamal dan di pertuntunkan kepada orang ramai terutama para pelancong ini bukan sahaja menimbulkan rasa hairan dan kagum tetapi mampu memberikan mereka rasa selamat dan harmoni apabila berada di Negeri kita, rasa selamat semasa melancong sangat besar erti dan pengaruhnya kepada para pelancong terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga dan membawa anak-anak mereka kesini, manalah ada ibu bapa yang suka mencari mala petaka dan bala dalam kehidupan mereka.

Oleh yang demikian industri pelancongan bukan sahaja mampu mempromosikan hasil-hasil kraftangan dan daya cipta sesuatu bangsa tetapi juga mampu untuk mempromosikan nilai-nilai murni ajaran ugama yang selama ini kurang diberi perhatian oleh pelbagai pihak. Bagi kita melalui industri pelancongan kita berpeluang mempromosikan ajaran Islam yang murni, tinggi, mulia, adil dan bertolak ansur dapat kita persembahkan kepada pelancong-pelancong asing terutama Eropah. Agar segala pandangan dan anggapan buruk terhadap Islam yang ada pada mereka sejak zaman berzaman itu dapat dikikiskan dan dihapus sama sekali. Kalau selama ini mereka sering mendapat gambaran bahawa Islam adalah ugama yang ganas, suka berperang, melampau, melalui kedatangan mereka ke Negara kita. Kita perlu pamirkan Islam dalam kehidupan kita bertentangan dengan apa yang mereka fahami sebelum ini. Itulah peluang yang perlu kita ambil dari kedatangan mereka ke Negara kita. Tetapi kalau kita sambut mereka dengan hanya pelbagi program hiburan ala Barat yang sudah melimpah ruah di Negara mereka. Maka tidak apa-apa maknalah industri ini kepada kita samada dari segi ekonomi, lebih-lebih lagi emej dan identiti kita sebagai sebuah Negara yang mejoriti penduduknya berugama Islam.

Para hadirin sekelian,

Oleh sebab itu kita di Negeri Kelantan yang sudah terkenal dengan keunikan budaya dan hasil ciptaan seni ukiran dan permainan kita tidak sekadar menyediakan bahan-bahan tersebut untuk menunggu para pelancong samada dari dalam Negeri, lebih-lebih lagi dari luar. Malah kita mahu keunikan dan keistimewaan Negeri Kelantan ditambah dengan elemen baru iaitu elemen ugama. Kita mahu rakyat Kelantan supaya lebih komited dengan ajaran Islam dalam kehidupan mereka, bermula dari rakyat biasa sehinggalah kepada golongan peniaga dan pengusaha mempamirkan sikap dan sifat Islam dalam setiap aktiviti mereka, sifat ramah mesra, amanah, jujur, suka tolong menolong, bantu membantu mereka yang memerlukannya. Sangat penting untuk kita tonjolkan supaya para pelancong yang datang ke Kelantan bukan sahaja dapat melihat dan menikmati keindahan alam semula jadinya seperti pantai dan bukit bukau. Tetapi juga dapat membawa pulang ke Negeri mereka ilmu dan pengalaman baru terhadap ajaran-ajaran dan sifat-sifat seorang Islam yang baik.

Para peniaga dan pengusaha kita hendaklah berusaha mempamirkan kejujuran dan tidak mengambil kesempatan daripada kehadiran para pelancong melalui kegiatan menaikan harga barang secara sewenang-wenangnya. Sebaliknya mereka dikehendaki menunjukkan sikap kecekapan dan profesionalisma yang tinggi dalam bidang masing-masing. Aspek kebersihan ditempat awam akan kita pertingkatkan lagi supaya ia selari dengan ajaran Islam sebagai ugama yang bersih lagi membersihkan. Emej Kelantan sebagai gedung membeli belah yang murah harganya tetap kita pertahankan supaya ini dapat memberi menafaat kepada kedua-dua pihak pelancong dan peniaga.

Itulah sikap dan produk yang akan kita sediakan untuk menyambut kedatangan para pelancung sekelian. Oleh itu tidak ada sebab pelancung, samada dari luar atau tempatan tidak memilih Kelantan sebagai distinasi idaman mereka pada tahun 1998 ini. Insya' Allah sedaya upaya kita akan usahakan agar Kelantan benar-benar menjadi syurga kepada semua pihak yang suka menghabiskan masa lapang dengan kegiatan pelancungan, saya dengan rendah diri dan berbesar hati menjemput dan mempersilakan semua pihak supaya datang ke Kelantan kerana disana terdapat banyak kebaikan dan kedamaian yang boleh dimenafaatkan bersama.

Dengan itu dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya lancarkan tahun 1998 sebagai Tahun Melawat kelantan.

Sekian,wassallam.