Make your own free website on Tripod.com
TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATO' MENTERI BESAR KELANTAN
DI MAJLIS PERASMIAN BULAN SEMBAHYANG
PERINGKAT NEGERI KELANTAN 1997
DI BALAI ISLAM LUNDANG
PADA: 24 Nov 1997
 

BISMILLAHIRAHMANIRAHIM
Maksudnya; Dan perintahkanlah kaum keluargamu bersembahyang serta bersabarlah ketika mengerjakannya, Kami tidak meminta rezki daripada kamu bahkan kamilah yang memberi rezki kepada kamu serta balasan-balasan bagi mereka yang bertaqwa.

- YB. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam
   merangkap Pengurusi Jawatankuasa Bulan Sembahyang Negeri Kelantan
- YABrs. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan
- YBrs. Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat Negeri Kelantan
- Para Pegawai dan Pembantu Unit Dakwah Halaqat
- Para Alim Ulama', ustaz-ustaz, guru-guru al-Quran
- Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah saw, kerana hari ini sekali lagi kita dapat berkumpul dan berhimpun dalam majlis pelancaran bulan sembahyang bagi kali ketiga ini. Negeri Kelantan adalah satu-satunya Negeri yang telah mengisytiharkan satu bulan  dalam setahun sebagai bulan sembahyang. Bagi pihak kerajaan Negeri saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan dan Unit Dakwah Halaqat kerana bersusah payah mengadakan majlis hari ini dan seterusnya mengisi program untuk menarik minat anak-anak muda mudi supaya cenderung dan minat terhadap ibadat sembahyang.

Para hadirin sekelian,

Sudah menjadi kebiasaan atau sunah setiap suatu yang dijadikan oleh Allah itu mesti ada teras atau tiangnya. Kalau pokok ia ada akar tunjang, kalau manusia dia ada jantung hatinya, kalau bangunan dia ada tiang serinya. Begitulah juga dengan agama. Ia juga mempunyai teras atau tiang yang berfungsi untuk mempertahankan daripada segala macam jenis pencerobohan yang boleh meruntuhkannya. Jadi tiang bagi Islam ialah sembahyang. Nabi pernah bersabda yang bermaksud; Sembahyang adalah tiang Agama. Oleh itu bagi seseorang Islam. Islamnya bermakna siapa-siapa kalau mereka tidak melakukan amalan ibadah sembahyang. Bagi diri seseorang manusia bersembahyang adalah sumber bagi kekuatan jiwa atau rohani mereka. Kalau tulang empat kerat ini adalah asas dan sumber kekuatan jasmani, maka sembahyang pula adalah asas dan sumber kekuatan rohani mereka.

Kekuatan rohani merupakan satu perkara yang penting dalam kehidupan manusia.Bukan kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan sepertimana yang di yakini dan difahami oleh kebanyakan orang. Kerana ekonomi yang kuat dan ekonomi yang stabil dan tentera yang handal sahaja tidak cukup untuk menjadi benteng bagi menyelamatkan manusia dari segala macam serangan dan ancaman yang dilakukan oleh pelbagai makhluk Allah terutama sekali syaitan atau iblis. Malah kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan tidak membawa apa-apa makna kepada kesejahteraan hidup manusia kalau rohani manusia itu kosong dan mengalami kelemahan. Kerana apabila rohani mereka lemah, harta benda yang sepatutnya menjadi alat-alat dalam kehidupan mereka bertukar menjadi Tuhan atau bahan sembahan kepada mereka, yang menyebabkan nilai mereka sebagai insan yang mulia itu menjadi hilang dan hancur lebur,

Hal seperti ini telah lama berlaku didalam masyarakat Eropah, dan ia telah diperakui oleh pakar-pakar jiwa dan saikologi mereka. Sebagai contoh Emile Durkheim seorang pakar sakit jiwa mengatakan bahawa antara punca berlakunya perbuatan bunuh diri dimusim-musim tertentu di Eropah adalah disebabkan oleh manusia telah merasai kekosongan sesuatu dalam jiwa mereka. Menurut Erich Fromm yang juga seorang ahli ilmu jiwa dan saikologi, kekosongan jiwa manusia berlaku apabila putusnya hubungan antara manusia dengan satu kekuasaan yang maha besar iaitu kekuasaan Allah. Yang dimaksudkan dengan hubungan antara manusia dengan Tuhan itu ialah sembahyang. Dalam istilah Islam ibadah sembahyang adalah satu ibdat yang menghubungkan secara langsung antara manusia dengan Allah. Melalui ibadat sembahyang samada dalam bentuk perbuatannya ataupun bacaannya membolehkan manusia berhubung dengan Allah. Segala bacaan yang dibacanya adalah puji-pujian mereka terhadap kebesaran dan keagungan Allah s.w.t. Apabila kita sudah mengiktiraf dengan lisan dan dengan perasaan bahawa Allah itu besar dan agung. Maka tiada lagi perkara yang berlaku dan amalan yang dialami oleh kita semasa hidup didunia ini yang boleh membawa kepada kesedihan, sehingga melakukan pembunuhan terhadap diri kita sendiri.

Para hadirin sekelian,

Antara asas yang menjadi ukuran kepada masyarakat Barat untuk mereka mnegukur kekuatan Islam, ialah bilangan orang yang pergi bersembahyang di Masjid. Mereka tidak begitu bimbang terhadap jumlah penduduk yang didaftarkan sebagai berugama Islam didalam sesebuah Negara. Tetapi yang mereka bimbang ialah jumlah yang pergi bersembahyang di masjid itu ramai atau tidak. Sebab itu baru-baru ini seorang penulis telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan Islam yang berlaku di Britain. Penulis tersebut bernama Christhoper Morgan telah menulis dalam akhbar The Sunday Times yang mendedahkan hasil kajian persatuan penyelidik Kristian di Britain, bahawa pada tahun 2003 akan datang jumlah orang Islam yang bersembahyang dimasjid-masjid di Britain akan melebihi jumlah penganut Kristian yang pergi ke gereja sebanyak 4000 orang. Mengikut kajian mereka pada setiap tahun penganut Islam yang datang ke masjid bertambah sebanyak 32,000 orang. Sebaliknya penganut Kristian yang pergi ke gereja berkurangan sebanyak 18,000 orang.

Ini bermakna bersembahyang di masjid-masjid atau tempat-tempat awam yang terbuka kepada pandangan dan penglihatan musuh-musuh Islam berjaya memberi satu tekanan atau serangan saikologi yang berkesan bagi orang-orang kafir. Umat Islam yang bersembahyang ini sangat dibimbangi dan sangat menakutkan mereka. Kerana mengikut sejarahnya ketika peperangan Salibah dahulu, golongan yang bersembahyang itulah yang telah menjadi kekuatan pasukan tentera Islam. Peristiwa itu telah menjadi titik hitam dalam sejarah mereka dan mereka sangat takut kepada umat Islam yang bersembahyang. Adapun umat Islam pada nama sahaja tetapi tidak bersembahyang mereka sangat suka. Kerana golongan ini bukan sahaja tidak mampu membawa ancaman kepada mereka. Sebaliknya boleh dijadikan alat oleh mereka untuk memecah belahkan dan merusakan sesama sendiri.  Kerana dengan menggunakan nama dan title Islam yang ada pada mereka, walaupun tidak pernah mengerjakan ibadah sembahyang. Mereka boleh berperanan untuk mengelirukan orang ramai mengenai ajaran-ajaran dan kehendak-kehendak Islam. Melalui mereka segala pengaruh dan hasrat penjajah Barat dapat disebar dan ditanam dalam masyarakat orang Islam sehingga menjadikan Islam itu sebagai musuh mereka dan fahaman barat itu sebagai yang terbaik bagi mereka.

Itulah yang dikatakan serangan pemikiran dan pembudayaan yang dilakukan oleh Barat terhadap umat Islam dengan menggunakan orang-orang Islam yang tidak melaksana dan menghayati ibadat dan falasafah sembahyang. Apabila suasana itu berkembang, akhirnya berlakulah pertembungan pendapat dikalangan umat Islam didalam Negara mereka sendiri. Yang kadang-kadang membawa kepada perpecahan yang lebih besar seperti berlaku peperangan saudara dan sebagainya. Bila keadaan ini berlaku, maka orang Barat bertepuk tangan dan goyang kaki serta mengambil peluang untuk merampas atau menjajah apa jua sumber yang ada dalam sesebuah Negara tersebut dan membiarkan umat Islam sesama sendiri.

Para hadirin sekelian,

Demikianlah akibat pengaiban terhadap ibadat sembahyang. Ia bukan sahaja  membawa dosa kepada individu itu sahaja. Tetapi menjadi pemangkin kepada musuh-musuh Islam untuk mempergunakan mereka bagi meruntuhkan Islam. Oleh kerana itulah kerajaan Kelantan walaupun pernah dianggap dan dituduh sebagai kerajaan yang suka melakukan perkara-perkara yang remeh temeh apabila kita menganjurkan bulan sembahyang dengan mengadakan peruntukan-peruntukan namun kita tetap bertegas dan menganggap program yang penting. Kerana bermula dari situlah masa depan jenerasi akan datang dan Negara keseluruhan bermula. Ibadat sembahyang dikalangan rakyatlah akan mencorakan masa depan Negara ini. Kalaulah sebahagian rakyat Negara ini tidak bersembahyang maka tidak mustahil kita akan menjadi seperti Negara-negara Barat dan Eropah yang lain. Tetapi sebaliknya kalau seluruh rakyat Negara ini mengamalkan ibadat sembahyang dengan sempurna dan teratur serta faham tentang tujuan dan kehendak-kehendak dari falasafah sembahyang tersebut. Insya' Allah akan terbinalah Negara Islam seperti yang dikehendaki oleh Allah dan para pejuang Islam.

Oleh itu marilah kita semua terus mendokong dan memperhebatan program ini dikalangan anggota masyarakat sehingga muncul satu keyakinan dan kefahaman yang mendalam tentang pentingnya ibadat sembahyang ini dalam kehidupan manusia. Marilah kita menyusun langkah dan gerak kerja ini dengan menjadikan keluarga kita sebagai sasaran awal. Dan diikuti dengan jiran-jiran kita sehinggalah kepada seluruh rakyat disetiap pelusuk kampung dan bandar. Semuga Allah memberkati usaha kita terus memberikan pertolongan kepada kita semua.

Sekian terima kasih.