Dalam ucapannya sempena majlis menandatangani Surat Ikatan Penamatan dan pertukar-an Dokumen Penyerahan / Ambilalih Kelantan Water Sdn Bhd.(KWSB) daripada Thames Water kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat KWSB, Jalan Yahya Petra, Kota Bharu pada 29 April lalu, Tuan Guru Dato’ Menteri Besar berkata, beberapa perubahan kakitangan terpaksa dilakukan sejajar dengan suasana baru dalam pengurusan yang terpaksa berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan yang terdapat sebelum ini.
Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dalam pengurusan KWSB yang lepas. Sehubungan dengan itu beliau juga menyeru pengurusan yang baru supaya mengelak daripada mengulangi masalah-masalah yang berlaku dalam pengurusan lalu.
Pengerusi Eksekutif KWSB, Dato’ Bakri Mohamad, ketika berucap di majlis tersebut, turut menyatakan bahawa kedudukan kakitangan adalah ditentukan oleh lembaga pengarah baru di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
Beliau mengucapkan terima kasih atas segala usaha dan kerjasama yang
baik yang telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan dan kakitangan KWSB
selama ini walaupun terpaksa melalui keadaan-keadaan yang sukar.
Katanya lagi, penyerahan sepenuhnya KWSB dari Thames Water kepada Perbadanan
Menteri Besar merupakan detik bersejarah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat
Kelantan.
Beliau berharap pengurusan baru akan menjayakan kerja-kerja bekalan air dengan lebih maju lagi.