Pentadbiran Majlis Daerah Tanah Merah berjaya

        Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Kelantan, YB Dato’ Haji Halim Mohamad, mengucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) kerana mampu melaksanakan program-program pengindahan bandar dan telah menerima Anugerah Kualiti Perkhidmatan serta Penyusunan Kaunter Terbaik Peringkat Malaysia.

        Beliau memberi tahniah itu ketika berucap di Majlis Perlantikan dan Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Mesyuarat Majlis Daerah Tanah Merah bagi tahun 1995 pada 18 Januari lalu.

        Datuk Haji Halim juga berkata Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan peruntukan RM150,000 kepada MDTM bagi melaksanakan projek-projek pembangunan dan keindahan bandar.

        Dalam majlis yang sama, Ketua Jajahan Tanah Merah, YABrs. Tuan Haji Mohd. Ghazali Aabd. Rahman menjelaskan MDTM berjaya memungut sejumlah RM 1.3 juta hasil pelbagai cukai tidak termasuk cukai tanah.

         MDTM berjaya memungut hasil yang tinggi berikutan perancangan kutipan cukai seperti perlaksanaan sistem kaunter bergerak, pengeluaran notis kepada pembayar cukai dan kempen kesedaran membayar cukai.

        Selain mengindahkan dan membersihkan bandar, MDTM juga melaksanakan beberapa projek seperti membina kilang di Bukit Panau, 700 unit rumah kos rendah, projek perumahan swasta di Jedok dan lain-lain lagi.