PERSEMBAHAN DIKIR BARAT DIBEKUKAN

KERAJAAN Kelantan membekukan izin persembahan dikir barat di negeri ini mulai 27 Mei. Keputusan ini yang dibuat pada mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri pada tarikh tersebut dilaksanakan serta-merta, termasuklah terhadap yang telah diberi surat izin.

Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,  berkata pembekuan izin persembahan dikir barat dibuat kerana izin itu telah disalahgunakan.
Katanya, kebelakangan ini persembahan dikir barat sema-kin menampakkan kegelojohan dan mengandungi unsur tidak sihat.

Kerajaan PAS Kelantan sejak tahun 1991 menyusun semula acara kesenian dan hiburan di negeri ini melibatkan persembahan-persembahan hiburan tradisional seperti dikir barat, makyong, menora dan wayang kulit agar tidak bercanggah dengan Islam.

Berikutan dengan dasar ini persembahan-persembahan tersebut dilarang kerana kesemuanya didapati dalam keadaan yang sediakala mengandungi ciri dan cara persembah serta persekitaran yang bertentangan dengan Islam.

Bagaimanapun Kerajaan Negeri boleh membenarkan persembahan-persembahan tersebut sekiranya segala ciri yang bercanggah dengan Islam dapat diganti dengan sesuatu yang dibenarkan oleh Islam.
Sejak tahun 1994 dikir barat diberi kelonggaran dengan mendapat kebenaran Kerajaan Negeri untuk dipersembahkan di khalayak ramai setelah berjaya diubahsuai dan mematuhi peraturan- peraturan yang antara lainnya seperti mengandungi seni kata yang sopan, tidak melibatkan wanita, tidak melebihi jam 12.00 malam dan mempastikan penonton lelaki dan perempuan tidak bercampur-aduk secara bebas.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, dikir barat dipersembahkan dengan meluas sekali di semua jajahan negeri ini oleh penganjur-penganjur swasta yang berusaha mengaut keuntungan tetapi didapati mengenepikan syarat-syarat persembahan yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri.

Menurut Pengerusi Jawatan-kuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Negeri Kelantan, YB Abdullah Ya'kub, persembahan dikir barat akhir-akhir ini didapati melibatkan wanita, mengandungi seni kata yang tidak sihat dan diiringi joget.  Selain itu, katanya, penonton didapati bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.