Mendapat ijazah dari Universiti al-Azhar

        Orang yang pertama menemui Tuan Guru Haji Nik Abdul sewaktu beliau tiba di Kaherah ialah Wan Hashim bin Haji Wan Ahmad. Wan Hashim (Dato') - sekarang ini memegang jawatan Yang Dipertua Parti Berjasa dan EXCO Kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah Kelantan – pada waktu itu sedang belajar di Universiti al-Azhar, Mesir.

        Bagi Dato' Wan Hashim itulah kali pertama beliau bertemu dan berkenalan dengan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang baru sahaja sampai ke Mesir dari India. Beliau menggambarkan kembali lngatannya yang masih segar tentang pertemuan kali pertama itu.

        'Saya merasakan ada keganjilan apabila melihat seorang pelajar berbadan kurus dan kecil dengan berpakaian India tetapi rupa-rupanya seorang Melayu dari Kedai Lalat, Kelantan. Kitab-kitab yang dibawanya jauh lebih banyak daripada kitab-kitab yang dimiliki oleh pelajar-pelajar yang lain di Al-Azhar,' kata Dato' Wan Hashim.

        Menurut Dato' Wan Hashim lagi, ketika cuba menyelesaikan masalah bilik penginapan pelajar baru dari Kedai Lalat inilah muncul seorang rakannya. Allahyarham Haji Abdul Majid Idris. Rupa-rupanya Haji Abdul Majid memang sudah kenal dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz.

        Allahyarham pernah bersama-sama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz belajar dengan Tuan Guru Haji Abas di Jertih dan Bukit Puteri dalam zaman pemerintahan Jepun dulu.

        "Guano Zed, kurus sangat ni?" Itulah soalan pertama yang diajukan oleh Haji Abdul Majid apabila melihat badan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz lebih kurus daripada yang biasa dilihatnya.

        "Sebagai seorang pclajar baru, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menghadapi masalah yang sama dengan pelajar-pelajar baru yang lain.

        Sewaktu beliau tiba di asrama pelajar itu, belum ada bilik disediakan untuknya. Tetapi dengan jasa baik Allahyarham Haji Abdul Majid Haji Idris, maka masalah tempat tinggal dan bilik itu telah dapat diatasi dalam masa yang singkat," kata Dato' Wan Hashim.

        Dalam pertemuan yang pertama dengan Wan Hashim itu, beliau telah menyatakan hasratnya untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang kesusasteraan dan bahasa Arab di Kuliathul lughah.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga bertanyakan kepada Wan Hashim nama-nama pelajar Melayu yang mengikuti Kuliathu lughah pada ketika itu.

        Pelajar agama dari negeri Kelantan dalam tahun 40an dan 50an tidak banyak menghadapi kesulitan dalam mengikuti pelajaran di Universiti al-Azhar kerana universiti itu menyediakan kebanyakan mata pelajaran dan kitab-kitab yang telah pun dipelajari di Kelantan.

        Dalam zaman pemerintahan Jepun hingga ke zaman Pentadbiran Tentera British (BMA) ramai ulama tempatan yang mampu mengajar dengan menggunakan kitab-kitab teks asas yang lebih tinggi tahap pengajiannya daripada  kitab-kitab yang digunakan oleh siswa-siswa di Universiti al-Azhar.

        Ada juga yang mengatakan bahawa anak-anak murld AllahyarhamTok Guru Haji Ali Pulau Pisang lebih mahir dan bijak dalam ilmu nahu dan saraf kalau dibandingkan dengan siswazah Universiti al-Azhar itu.

        Allahyarham Maulana Tok Khurasan, Allahyarham Haji Wan Musa, Tuan Guru Haji Abas, Allahyarham Tok Guru Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Allahyarham Haji Ismail Pontianak dan Tok-Tok Guru lainnya yang mengajar di Masjid Muhannnadi telah mengajar fikah, tauhid, Hadith, tafsir, nahu saraf dan ilmu mantiq dengan menggunakan kitab yang lebih tinggi daripada apa yang dipelajari di Universiti al-Azhar.

        Oleh sebab itulah pelajar-pelajar yang seangkatan dengan Ustaz (sekarang Datuk) Yusuf Zaki Yaakub, Allahyarham Nik Muhammad Mahyuddin Musa, Ustaz Ariffin Awang dan lain-lain lagi, tidak menghadapi apa-apa kesulitan untuk mendapatkan ijazah di uriiversiti itu.

        Saya telah diberitahu bahawa Ustaz Yusuf Zaki Yaakub tidak belajar di Unversiti al-Azhar pada waktu beliau berada di Mesir dengan alasan sebahagian besar daripada kitab-kitab yang digunakan dalam pengajian di universiti ltu telah pun dipelajari daripada beberapa orang ulama di Kelantan termasuk daripada ayahnya sendirl.

        Beliau merasakan tidak perlu mengulangi pelajaran yang telah dipelajari di Kelantan.

        Berdasarkan kepada hakikat itu juga maka Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak menghadapi apa-apa masalah untuk mendapat ijazah di Universiti al-Azhar kerana beliau juga telah mengkaji sebahagian besar daripada kitab yang dalam pelajaran di univeristi itu.

        Tambahan pula, beliau telah berada di Darul Ulum, Deoband selama lima tahun sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar.

        Dalam tempoh empat tahun sahaja, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah memperolehi ijazah Saijana Muda (B.A.) dalam jurusan Pengajian Bahasa Arab dan ijazah Sarjana (M A) dalam jurusan Perundangan Islam.

        Setelah selesai pengajian di peringkat sarjana itu barulah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz meninggalkan Mesir dan pulang ke tanahair pada bulan Februari 1962. Ketika itu, Kelantan sudah diperintah oleh Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) selama tiga tahun berikutan dengan kemenangan parti ini dalam pilihanraya umum tahun 1959.

        Setahun kemudian, beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis tempatan, Tuan Sabariah bintu Tuan Ishak yang baru berusia 14 tahun. Hasil daripada perkahwinan itu, sekarang (1991) mereka telah dikurniakan 10 orang anak.

        Nama-nama anak Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ialah seperti berikut:-
         

        1. Nor Aini, 28 tahun.
        2. Nik Omar, 25 tahun, sedang belajar di Ma'ahad Dirasah Islamiyah Bizzamaalik, Kaherah.
        3. Nik Adili, 23 tahun, sedang belajar di Pakistan
        4. Nik Abdul Rahim, 21 tahun, sedang belajar di Universiti al-Azhar, Kaherah.
        5. Nik Abduh, 20 tahun, sedang belajar di India.
        6. Nik Adilah, 19 tahun, sedang belajar di Universiti al-Azhar, Kaherah,  Mesir.
        7. Nik Asri, 17 tahun, sedang belajar di Ma'ahad Muhammadi Kota Baharu.
        8. Nik Amani, 15 tahun, sedang belajar di Tingkatan Tiga Ma'ahad Muhammadi (Perempuan) Kota Baharu.
        9. Nik Amalina, 13 tahun, sedang belajar di Tingkatan Satu Ma'ahad Muhammadi (Perempuan) Kota Baharu.
        10. Nik Asma Salsabila, 6 tahun.

        Sekembalinya dari Mesir, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak terus terlibat dalam kegiatan politik kerana beliau pada waktu itu tidak dapat membuat keputusan sendiri tanpa mendapat persetujuan daripada almarhum ayahandanya.

        Walaupun beliau sudah dewasa dan memiliki ljazah sarjana universiti al-Azhar, tetapi sebagai seorang anak yang patuh kepada perintah dan ajaran bapanya, beliau masih belum berpeluang membuat keputusan sendiri dalam apa-apa perkara sekalipun.

        Dalam erti kata lain,Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak akan membuat keputusan sendiri tanpa persetujuan almarhum ayahandanya.

        Sebagai seorang anak Tok Guru yang berkelulusan M.A Universiti al-Azhar sudah tentulah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak akan menghadapi apa-apa kesulitan untuk mendapatkan kedudukan dan jawatan dalam kerajaan dan badan-badan berkanun lainnya kerana tidak ramai jumlah anak watan Kelantan yang mempunyai kelayakan seperti beliau.

        Menurut Nik Din, almarhum ayahandanya tidak mernbenarkan abangnya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, bekerja dengan pemerintah atau makan gaji selagi almarhum masih hidup.

        'Apa yang dikehendaki oleh almarhum ayahanda kami ialah ‘Abang zid’ mengambil tempatnya mengajar di masjid Pulau Melaka dan meneruskan kerja-kerja dakwah yang pernah dijalankannya. Almarhum ayahanda saya mahukan supaya Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berada di tengah- tengah rakyat yang memerlukan tunjuk ajar daripadanya. Almarhum mensifatkan seorang guru atau pendakwah itu sebagai 'doktor' dan orang yang jahil sebagai 'pesakit' yang memerlukan rawatan.  Kalau seorang doktor perlu berada di tengah-tengah pesakit, maka seorang guru juga wajib berada di tengah-tengah rakyat yang jahil," kata Nik Din ketika menjelaskan falsafah dan prinsip almarhum ayahandanya tentang tugas seorang pendakwah atau seorang Tok Guru.

        Sebagai seorang yang patuh kepada perintah dan ajaran orang tuanya, maka Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak bersediaa menerima apa-apa jawatan yang boleh diistilahkan sebagai makan gaji atau sebagainya.

        Walau bagaimanapun, Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Mat membenarkan Haji Nik Abdul Aziz mengajar di Ma'ahad Muhammadi, di Madrasah Tarbiyah Mardhiah di Pachor di samping mengajar di masjid Pulau Melaka dan di masjid-masjid lain di sekitar Jajahan Kota Baharu.

        Almarhum ayahandanya tidak menganggap pembayaran elaun bulanan di Ma'ahad Muhammadi dan di sekolah-sekolah agama rakyat lainnya itu sebagai duit gaji kerana perkhidmatan di sekolah-sekolah agama ltu dianggap sebagai satu usaha dakwah yang amat penting.

        Tambahan pula, pembayaran elaun bulanan dari sesebuah sekolah agama rakyat itu tidak boleh dtiktiraf sebagai wang gaji kerana jumlahnya terlalu kecil kalau dibandingkan dengan gaji bulanan di sekolah-sekolah kerajaan pada waktu itu.

        Oleh kerana bidang dakwah dan pendidikan merupakan bidang yang paling diminati oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz maka beliau sendiri tidak memperhitungkan jumlah gaji dan elaun yang akan diterimanya.

        Yang penting bagi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ialah menyampaikan ajaran Islam yang hakiki kepada umat Islam dan soal gaji dan elaun tidak menjadi persoalan pokok.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah menumpukan sepenuh tenaga dan perhatiannya kepada bidang dakwah dan tabligh; dan secara tidak langsung pada waktu itu beliau telah mengambil alih tugas memberl kuliah agama daripada ayahandanya. Memang hasrat dan cita-cita almarhum ayahandanya sejak mula lagi supaya anaknya, Haji Nik Abdul Aziz, dapat mengambil alih tugasnya sebagai seorang guru agama dan pendakwah.

        Oleh kerana aliran yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Nik AbduI Aziz dalam pengajarannya amat berbeza dengan cara pengajaran yang dibawa oleh tok-tok guru lain maka timbullah berbagai-bagai tuduhan dan cercaan terhadapnya.

        Keluarga Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebelum ini pun terkenal sebagai golongan yang menentang amalan khurafat dan bid'ah di kalangan masyarakat setempat.

        Sebelum beliau kembali dari Mesir, ayahandanya telah mengisytiharkan perang terhadap golongan pak lebai kampung yang mengharuskan amalan-amalan bid'ah dan khurafat di kalangan umat Islam.

        Sejak mengambil alih tugas memberi kuliah daripada ayahandanya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz secara terbuka dan tegas mengecam segala bentuk amalan khurafat yang wujud ketika ltu.

        Budaya khurafat itu adalah seperti semah kuala, upacara menyembelih kerbau balar yang dihias indah dan dihanyutkan ke laut sebagai hadiah kepada 'penunggu laut' yang dikatakan memberi perlindungan kepada nelayan yang mencari rezeki di lautan luas.

        Kepercayaan dan amalan seperti ini boleh membawa kepada berleluasanya amalan syirik dalam masyarakat kalau tidak ada seorang ulama atau Tok Guru seperti Haji Nik Abdul Aziz itu bangkit dan menentang pak-pak lebai kampung yang melindungi amalan-amalan syirik itu.

        Bukan setakat itu saja, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga telah mengecam amalan mengadakan kenduri arwah secara besar-besaran yang telah menjadi tradisi masyarakat Islarn di negara ini.  Amalan ini ternasuklah juga mengadakan kuih khas oleh waris si mati pada bilangan hari tertentu selepas tarikh seseorang itu meninggal dunia.

        Misalnya, kuih serbai dijamu pada hari ketiga selepas seseorang itu meninggal dunia, tepung mengkaras untuk jamuan pada hari yang ketujuh dan tepung apam pada hari yang ke-40. Jamuan kuih-muih ini disertai juga dengan jamuan nasi berserta lauk-pauknya yang dikira boleh membebankan waris si mati. Amalan-amalan bid'ah yang seperti inilah yang ditentang oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz apabila kembali ke tanahair selepas menuntut llmu di India dan Mesir.

        Tok-tok lebai kampung yang begitu kuat berpegang kepada adat resam dan tradisi masyarakat tidak begitu senang dengan usaha Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz hendak menghapuskan adat resam dan kepercayaan kebanyakan orang kampung yang boleh membawa kepada syirik itu.

        Ekoran daripada sikap Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang tidak mahu bertolak ansur dalam masalah adat resam yang karut-marut itu, maka beliau telah dikecam dan dilemparkan dengan berbagai-bagai tuduhan.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, pernah dituduh sebagai penyebar ajaran Mazhab Wahabi dan sebagai seorang ulama yang cenderung kepada ajaran 'Kaum Muda’ yang menentang kepentingan 'ulama-ulama tua’.

        Bagaimanapun, segala tuduhan dan cemuhan itu tidak dapat menghalang Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz daripada meneruskan usahaanya untukmembenteras amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang hakiki.  Oleh kerana apa yang diperjuangkan itu satu perkara yang hak, dan apa yang ditentang itu satu perkara yang batil, maka akhirnya masyarakat Islam setempat menerima yang hak dan menolak yang batil.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menentang khurafat dan amalan-amalan bid'ah itu bukan untuk kepentingan peribadinya tetapi untuk menegakkan kebenaran dan memperkatakan perkara yang hak atau benar mengikut ajaran Islam yang sebenar.

        Alhamdulillah, dengan berkat usahanya yang tidak putus-putus, akhimya penyakit masyarakat (khurafat dan bid'ah) itu sudah dapat diubati dan harl int rakyat sudah dapat menerima kebenaran yang diperjuangkannya itu.

        Perjuangan menentang khurafat dan amalan bid'ah ini merupakan perjuangan pertama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sekembalinya beliau dari Mesir.
        Dengan berakhirnya perjuangan menentang segala bentuk khurafat dan amalan bid'ah itu maka beliau dapat memenuhl hasrat dan cita-cita almarhum ayahandanya yang menghendaki beliau supaya meneruskan perjuangannya untuk menegakkan kebenaran dan menolak perkara-perkara yang batil dalam masyarakat.