Dari Kelas Dewasa ke Dewan Rakyat

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah dilahirkan untuk menjadi seorang guru yang bukan sahaja bertugas di sekolah pada waktu siang , malah beliau terpaksa bertugas pada waktu malam untuk mengajar orang-orang dewasa pula.

        Sebagai seorang guru dan ustaz, beliau mengajar di Ma'ahad Muhammadi di Kota Baharu pada waktu siang dan sebagai seorang tok guru pula beliau mengajar orang-orang dewasa di sebelah malam di masjid-masjid di sekitar jajahan Kota Baharu.

        Begitulah tugas harian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebelum beliau dipilih sebagai ahli parlimen mewakili kawasan Kelantan Hilir (Pengkalan Chepa) dalam tahun 1967.

        Sebelum mengambil bahagian yang cergas dalam arena politik, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bolehlah diperhitungkan sebagai seorang guru dan pendakwah sepenuh masa yang menumpukan seluruh tenaga dan fikirannya untuk menyampaikan ajaran Islam kepada semua lapisan masyarakat.

        Dan beliau amat berminat dalam kedua-dua bidang ini serta tidak boleh dipisahkan daripadanya selagi tenaga dan fikirannya masih berfungsi.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah menolak beberapa jawatan yang ditawarkan kepadanya kerana khuatir jawatan berkenaan, jika diterimanya, akan menghalangnya daripada menjalankan tugas sebagai pendakwah sepenuh masa.

        Tetapi sebaliknya, beliau sanggup menerima jawatan sebagai pensyarah agama kelas dewasa tanpa gaji pada satu ketika dulu semata-mata dengan tujuan untuk berdakwah dan menyampaikan ajaran Islam kepada rakyat.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak akan melibatkan diri dalam sebarang kegiatan yang tidak ada hubungan dengan dakwah dan penyebaran ajaran Islam kepada umum.

        Inilah sikap dan pendiriannya sejak beliau dikenali sebagai tok guru hingga ke waktu beliau dikenali sebagai Menteri Besar yang mendapat mandat daripada rakyat.

        Mungkin kalau tidak kerana tugasnya sebagai Ahli Parlimen itu ada persamaan dan kaitan dengan tugasnya sebagai pendakwah dan guru, maka besar kemungkinan beliau tidak bersedia untuk bertanding di atas tiket PAS dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir pada tahun 1967.

        Tetapi, oleh kerana mengikut anggapannya bahawa tugas sebenar seseorang wakil rakyat atau ahli parlimen itu adalah hampir sama dengan tugas seseorang pendakwah dan guru, maka beliau bersedia untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir.

        Dalam satu wawancara dengan wartawan Harakah dan beberapa orang pembantunya di kediaman Menteri Besar pada 25 Ogos 1991, beliau telah mengingatkan kembali detik-detik sejarah yang menyebabkan beliau bertanding dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir.

        Menurut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz keputusan PAS Pusat memilihnya sebagai calon untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir itu disampaikan kepadanya pada waktu beliau sedang mengajar di Ma'ahad Muhammadi, Kota Baharu, Kelantan.

        Sebaik-baik sahaja beliau menerima keputusan pucuk pimpinan PAS yang memilihnya menjadi calon itu beliau pun terus memberitahu murid-muridnya tentang perkara itu.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengakui bahawa beliau tidak dapat mengawal perasaan sedihnya pada waktu beliau memberitahukan keputusan pucuk pimpinan PAS yang memilihnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir kepada para pelajar Ma'ahad Muhammadi pada hari yang tersebut.

        Para muridnya menyedari bahawa keputusan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz hendak bertanding dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir itu, membawa erti yang mereka akan kehilangan seorang tenaga pengajar yang paling dihormati dan dikasihi.

        Inilah yang menyebabkan sebahagian daripada para pelajar itu menangis teresak-esak kerana tidak sanggup berpisah dengan guru yang sangat mereka kasihi.

        "Saya juga turut menangis kerana terpaksa berpisah dengan pelajar yang masih memerlukan tunjuk ajar daripada saya.

        Padabmulanya saya juga keberatan untuk melepaskan jawatan guru yang paling saya minati itu. Tetapi oleh kerana memikirkan bahawa tanggungjawab dan tugas seseorang guru itu hampir sama dengan tugas dan tanggungjawab seseorang wakil rakyat, maka saya bersedia untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Kelantan Hilir.

        "Kalau seseorang tok guru atau ustaz dapat menyampaikan ajaran Islam kepada murid-muridnya melalui sekolah agama, maka seseorang wakil rakyat juga dapat memberi pendapat dan fikirannya tentang Islam melalui Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat," jelas Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

        Beliau berpendapat bahawa peluang seseorang wakil rakyat atau ahli parlimen untuk mengeluarkan pendapat dan   menyampaikan ajaran Islam adalah lebih banyak dan lebih luas daripada seorang guru atau seorang ustaz.

        Malah beliau berasa yakin bahawa kedudukannya sebagai ahli parlimen akan dapat memberi peluang yang lebih baik kepadanya untuk memperkenalkan Islam di Dewan Rakyat yang menjadi medan perbahasan bagi menentukan undang-undang negara.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberitahu para wartawan Harakah dan pembantu-pembantunya bahawa beliau berasa senang dan puas hati dengan kedudukannya sebagai ahli parlimen yang mewakili sebuah parti yang memperjuangkan dasar Islam.

        Ucapan sulungnya di Parlimen adalah tentang bahaya judi mengikut kaca mata Islam.

        Dalam ucapan sulungnya itu beliau telah mengulas secara terperinci mengapa agama Islam mengharamkan segala bentuk judi secara total.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga telah menyebut tentang bahaya judi kepada masyarakat, keluarga dan juga kepada orang perseorangan.

        Walaupun beliau tidak dianggap sebagai seorang Ahli Parlimen yang paling banyak bercakap kalau dibandingkan dengan Datuk Ahmad Arshad (UMNO – Tangkak), Encik Yusof Mahmud (UMNO - Temerluh), Encik V. David dan Karam Singh (kedua-duanya daripada Front Sosialis) di sidang-sidang Dewan Rakyat dalam tahun-tahun 1960an ltu tetapi ucapan dan pandangannya dihargai dan disanjungi oleh kawan dan lawan sama ada di dalam mahupun di luar Dewan.

        Sebagai seorang intelek Islam, beliau bukan sahaja mampu untuk memperkatakan sesuatu tentang Islam, malah beliau juga mampu untuk membincang dan membahaskan soal-soal yang berhubung dengan kepentingan negara dan sebagainya.

        Dalam membahaskan usul pindaan perlembagaan tentang kedudukan raja-raja, yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Muhammad, beliau telah mengambil bahagian dalam perdebatan itu dengan mengemukakan hujah-hujah yang ma'qul dan menarik.

        Beliau memberitahu para pembantunya bahawa PAS menentang pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk menghapuskan kuasa raja-raja Melayu di negara ini.

        PAS menentang usul pindaan perlembagaan itu kerana adanya motif daripada kerajaan Pusat untuk menghapuskan sebahagian daripada kuasa raja-raja Melayu demi untuk kepentingan politik UMNO dan Barisan Nasional.

        'Saya menentang sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang bertujuan untuk memecat dan menyingkir raja-raja Melayu dalam keadaan seperti sekarang ini," tegasnya.

        Pengalaman paling pahit yang dirasakan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sewaktu beliau menjadi ahli parlimen PAS adalah apabila berlaku krisis kepimpinan dalam PAS pada tahun 1982.

        Akibat daripada krisis kepimpinan PAS itu juga tiga Ahli Parlimen berasal daripada PAS, iaitu Haji Muhammad Zain Abdullah (wakil Bachok), Cikgu Haji Wan Ibrahim Abduliah (Pasir Mas) dan Encik Hassan Haji Muhammad (Rantau Panjang) telah meninggalkan PAS kerana menyertai parti baru yang ditubuhkan oleh Datuk Muhammad Asri Haji Muda, iaitu Hizbul Muslimin (Hamim).

        Kedudukan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz di Parlimen sebagai wakil rakyat tunggal daripada PAS ketika itu boleh dikatakan sama sahaja dengan kedudukan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein di Parlimen antara tahun 1955-59.

        Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein ialah calon PAS yang tunggal yang memenangi pilihanraya umum sebelum negara kita mencapai kemerdekaan yang penuh pada 31 Ogos 1957. Tuan Haji Sulaiman Palestin pula merupakan calon Perikatan (UMNO) yang tunggal yang tewas dalam pilihanraya pertama itu. Tuan Haji Ahmad Hussein mengalahkan beliau dalam kawasan parlimen Parit Buntar dengan majoriti yang agak besar juga.

        Dalam sejarah pilihanraya umum di negara kita, PAS telah tiga kali mempunyai wakil tunggal di Parlimen, iaitu dalam tahun 1955-59 (Tuan Guru Haji Ahmad Hussein), 1983-1986 (Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz) dan tahun 1986-1990 (Haji Nik Abdullah Arshad).

        Menyentuh tentang pengalamannya pada waktu menjadi wakil tunggal PAS di Parlimen, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menyatakan bahawa kedudukannya itu tidak menghalangnya daripada mengemukakan usul dan memberi pendapat di dewan itu.

        "Selama tiga tahun saya keseorangan sebagai ahli dari PAS di Dewan Rakyat tetapi dapat juga saya bercakap dan mengemukakan pendapat parti.  Tidak banyak masalah yang saya hadapi sebagai Ahli Parlimen pida waktu ltu,' jelas Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.

        Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak melupakan peristiwa pahit yang dialami selama 19 tahun menjadi Ahli Parlimen iaitu peristiwa tindakan menyingkirkan PAS daripada Barlsan Nasional pada tahun 1978.

        Beliau menyifatkan tindakan menyingkirkan PAS daripada Barisan Nasional itu sebagai tindakan yang tidak mempunyai maruah dan kejam.
        Menteri Besar Kelantan itu menolak kemungkinan PAS akan menyertai Barisan Nasional semula kerana mengenangkan peristiwa itu.

        'Saya tidak akan dapat melupakan peristiwa pahit itu apabila berdepan dengan masalah hubungan PAS dengan UMNO," katanya.

        Tindakan pucuk pimpinan UMNO menghalau dan menyingkirkan PAS daripada Barisan Nasional itu jelas membuktikan bahawa UMNO lebih mengutamakan kuasa daripada menegakkan perpaduan di kalangan parti-parti yang didokong oleh orang-orang Melayu dan Islam.

        Para pemimpin UMNO sejak dulu hingga ke hari ini tidak ikhlas serta tidak jujur dalam usaha mencari perpaduan dengan parti-parti Melayu dan Islam di tanah air.

        Tetapi, sebaliknya, UMNO akan terus mengekalkan hubungan baik dengan mana-mana parti politik semata-mata kerana hendak memperkuatkan kedudukan dan menjaga kepentingan Barisan Nasional tanpa mengambil berat soal akidah dan kemurnian prinsip perjuangan Islam.

        "Soal akidah dan prinsip perjuangan tidak menjadi perhitungan utama kepada para pemimpin UMNO.  Apa yang penting kepada mereka ialah UMNO mesti terus kekal berkuasa buat selama-lamanya,' ujar Tuan Guru Haji Nik  Abdul Aziz.