Kaji dan atasi masalah belia kurang minat dalam pertanian

Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, meminta pihak-pihak berkenaan mengkaji  kenapa para belia kita kurang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian walaupun bidang ini mampu memberi pulangan ekonomi yang lumayan.

“Adakah kerana terdapat pihak pengurusan ladang yang gagal menawarkan gaji yang baik ataupun kerana bidang ini melibatkan kerja-kerjayang kotor atau pun ada faktor-faktor lain yang menyebabkan mereka bersifat sedemikian?” tanya beliau.

Masalah ini beliau timbulkan ketika berucap di majlis perasmian kilang dan ladang kelapa sawit Serasa, Gua Musang, 14 Jun lalu. Perasmian dilaksanakan oleh KDYMM al-Sultan Kelantan sempena lawatan baginda ke Jajahan Gua Musang.

Katanya, kajian ini sangat penting supaya kita dapat mencari satu rumusan dan kaedah penyelesaian yang terbaik bagi mempastikan sektor ini terus dapat bertahan dan bersaing dengan sektor-sektor yang lain.

Tuan Guru Dato’ Menteri Besar kesal dengan kurangnya minat para belia bekerja di sektor pertanian kerana sikap ini akan mengurangkan kerancakan sektor ini dari terus berkembang dan bersaing dengan bidang-bidang lain.

Beliau mahukan para belia terlibat dalam pertanian kerana bagi negeri Kelantan pertanian tetap akan menjadi sektor utama kegiatan ekonominya dan mempastikan sektor ini terus dapat bertahan dan bersaing dengan sektor-sektor yang lain.

Hasrat itu juga sesuai dengan menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara.  Beliau juga menjelaskan hasrat ini bukan sahaja sebagai memenuhi keperluan asas manusia tetapi juga sebagai langkah keselamatan.

Menyentuh tentang kekurangan pekerja di sektor ladang, beliau memberi contoh, di Ladang Serasa terdapat seramai 595 orang tenaga kerja tetapi hanya 78 orang sahaja daripada jumlah itu merupakan pekerja anak tempatan manakala  417 orang lagi tenaga kerja asing.

Katanya lagi, dalam kemelesetan dan kegawatan ekonomi sekarang masih banyak kekosongan kerja jawatan dan tenaga kerja di sektor perladangan diperlukan.